Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil bin Yaakob telah menolak permohonan Ketua Menteri Melaka untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan dalam satu kenyataan media memaklumkan Adalah Yang di-Pertua Negeri Melaka telah mendapat representasi daripada sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka bahawa Ketua Menteri Melaka, YB Adly bin Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka.

“Oleh yang demikian, berdasarkan Perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka, YAB Ketua Menteri Melaka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Selanjutnya, berdasarkan Perkara 7(2)(a) Perlembagaan Negeri Melaka Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka akan melantik dalam masa terdekat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai Ketua Menteri baharu untuk mengetuai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka yang pada pendapat Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka mendapat kepercayaan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri,” ujar beliau.
Terdahulu, Adly Zahari telah memohon agar Yang di-Pertuan Negeri Melaka untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka bagi membolehkan Pilihanraya Negeri diadakan.
Dalam permohonan berkenaan, beliau berkata dengan mengambil kira keadaan ketidakstabilan politik Negeri Melaka yang boleh menjejaskan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat, serta bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat, saya dengan merujuk kepada peruntukan di bawah perkara 714) Perlembagaan Negeri Melaka.

“Jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Undangan Negeri, maka Ketua Menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan, melainkan jika atas permintaannya Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri” maka, saya telah mencadangkan kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk membubarkan.
“Untuk itu saya mengharapkan semua rakyat kekal bertenang dan mematuhi peraturan bagi memastikan negeri ini terus aman dan selamat,” ulas beliau.
– THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply