Gara-gara gila talak, seorang lelaki bergelar doktor bertindak membelasah bekas isteri, Siti Nur Hidayah dan bapa mertua dengan menghentak kepala mereka di permukaan jalan.
Akibatnya, mangsa 34 tahun yang juga seorang doktor cedera di kepala manakala bapa mangsa pula menerima tiga jahitan di kepala.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan telah memberhentikan kenderaannya di bahu jalan untuk memeriksa tayar sebelum menyedari kereta dipandu bekas suaminya berusia 34 tahun berhenti berhampiran.
“Suspek menyerang kami dan bertindak menghentak kepala saya dan bapa berusia 60 an di permukaan jalan raya sehingga menyebabkan pergelutan,” katanya.
Katanya, kejadian disedari orang awam yang membantu meleraikan pergelutan.
Bekas suami kemudian beredar dari lokasi manakala mangsa dan bapanya bergegas ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.
Satu laporan polis dibuat di Balai Polis USJ8, Subang Jaya.
Melalui perkongsiannya di Facebook miliknya, Siti Nur Hidayah memberitahu, bekas suaminya itu dikatakan berang dengan tindakannya melaporkan perlakuan kejam bekas suaminya itu kepada polis.
Menurut Doktor Siti Nor Hidayah, beliau mengakui telah menghalang bekas suaminya daripada mengambil anak mereka, memandangkan bekas suaminya itu seorang yang panas baran.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh ketika tampil memberi keterangan berkaitan kes itu kira-kira jam 12 tengah hari pada 9 September lalu.
“Bagaimanapun, suspek dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan pada hari sama.
“Suspek turut mengemukakan surat rujukan perubatan memaklumkan dia disahkan mengalami tekanan perasaan,” katanya.
Katanya, polis masih menunggu laporan penuh perubatan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Terbaru, doktor Siti Nor Hidayah mendakwa telah menerima satu ugutan saman daripada bekas suaminya.
Leave a Reply