Wednesday, July 17, 2024
HomeBERITAUsahawan luar bandar perlu strategi pasarkan produk secara digital

Usahawan luar bandar perlu strategi pasarkan produk secara digital

LIPIS, 3 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyaran usahawan luar bandar agar melengkapkan diri dengan menguasai kemahiran digital dalam menghadapi persaingan perniagaan yang semakin kompetitif.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, bagi memastikan proses peralihan itu berjaya, usahawan digalak menghadiri latihan serta program peningkatan kemahiran berkenaan bagi memastikan produk yang dipasarkan dapat menarik perhatian pelanggan.

”Beralih kepada pemasaran secara digital adalah norma baharu perniagaan namun memasarkan produk di media sosial sahaja tanpa strategi dan kemahiran berkemungkinan tidak memberi impak yang berkesan”.

Tambah beliau, KPLB menyedia banyak kursus dan bimbingan digital bagi membantu usahawan luar bandar dalam memasar, menambah baik mutu dan kualiti produk untuk kesediaan berniaga dalam talian termasuk menyedia platform DesaMall@KPLB.

Sejak April lalu, 3,000 usahawan luar bandar di latih di bawah program DesaMall@KPLB bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan menjalankan perniagaan secara dalam talian dengan mencatat nilai jualan lebih RM4 juta.

DesaMall@KPLB diperkenalkan pada Oktober 2017 dan memasarkan 3,567 produk di platform e-dagang seperti Lazada, Shopee dan eBay.

Datuk Seri Abdul Rahman berkata demikian ketika merasmikan penutup program Mini Karnival Usahawan Desa(KUD)@Lipis di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis malam tadi.

Di majlis sama, lima peserta program Start Right (PSR@KPLB) menerima bantuan untuk memulakan perniagaan.

Program ini memberi peluang kepada belia luar bandar dari golongan B40 untuk menerima latihan asas keusahawanan dan bimbingan intensif selama enam bulan serta bantuan dalam bentuk peralatan dan modal bagi memulakan perniagaan.

Dalam pada itu, jelas Datuk Abdul Rahman, Karnival Usahawan Desa anjuran KPLB ini turut menyedia platform bagi mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta yang dapat membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.

“Melalui program ini Kementerian dapat mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB, mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian dan agensi bagi tujuan penambahbaikan berterusan.

KUD antara program pemasaran di bawah KPLB yang bertujuan memartabatkan produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar melalui perluasan akses pasaran serta peningkatan aktiviti pemasaran kepada pihak pengeluar, pembekal, pemborong, dan pengedar untuk menjalinkan kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.

Mini KUD@Lipis yang diadakan sejak 30 Jun dan berakhir 3 Julai ini mengumpulkan 135 usahawan bimbingan di bawah KPLB merekodkan seramai lebih 43 ribu pengunjung dengan nilai jualan termasuk tempahan mencecah RM400,000 telah dicatatkan.

Untuk rekod, Mini KUD@Lipis ini adalah siri kedua dianjurkan KPLB selepas Pontian pada Mac lalu. Sehingga kini, lebih 64,000 usahawan di bawah bimbingan KPLB dan agensinya.

Penganjuran Mini KUD@Lipis ini juga selaras hasrat Kerajaan di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia untuk memulih dan merapatkan jurang ekonomi pasca Covid-19.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments