Turkiye-Greece: Konfrontasi makin meruncing

0

ANKARA, 27 Sept – Greece didakwa secara tidak sah mengerahkan sebilangan kenderaan perisai ke Kepulauan Aegean.

Lapor Agensi Berita Anadolu yang memetik sumber tentera dakwaan itu disokong oleh rakaman dron yang memaparkan detik kenderaan-kenderaan itu diturunkan dari kapal pendaratan Greece.

Lapor media, Greece telah menghantar kenderaan tentera yang disumbangkan  oleh Amerika Syarikat (AS) ke Kepulauan Aegean Lesbos (dikenali sebagai Midilli di Turkiye) dan Samos (Sisam), kata sumber.

Setiap pulau itu masing-masing menerima 23 dan 18 kenderaan berperisai.

Kesemua kenderaan itu dihantar secara berkelompok sepanjang minggu lalu.

Rakaman dron yang diedar oleh media Turkiye memaparkan detik kenderaan tentera berada dalam barisan di sebuah pelabuhan dengan sebuah kapal pendaratan berlabuh di kawasan berhampiran dan kargonya dibuka.

Menurut sumber, penempatan kenderaan itu didakwa melanggar status demiliterisasi (bebas daripada kegiatan ketenteraan) pulau itu sambil mendakwa bahawa Greece tidak berusaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara.

“Greece tidak menghadiri mesyuarat walaupun dijemput dan tindakan membuat provokasi sedemikian menunjukkan pihak mana yang meningkatkan ketegangan, siapa yang sukar didamaikan, agresif dan menyalahi undang-undang,” kata sumber itu.

Walaupun pulau-pulau itu diletakkan di bawah status demiliterisasi melalui Perjanjian Lausanne pada tahun 1923, Greece masih dibenarkan untuk mengekalkan tentera yang direkrut daripada penduduk tempatan dan pasukan polis.

Ketegangan dua negara sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang mempunyai sejarah permusuhan itu telah memuncak sejak akhir Ogos lalu.

Turkiye menuduh Greece membidik  jet tenteranya yang terbang di perairan bebas menggunakan sistem pertahanan udara S-300 buatan Russia.

Athens bagaimanapun menolak dakwaan itu dan  mendakwa bahawa pertahanan udaranya tidak aktif ketika kejadian.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply