Thursday, November 19, 2026
HomeBERITATun M minta kami gerakkan penyatuan Melayu dalam usaha menyekat kemaraan DAP...

Tun M minta kami gerakkan penyatuan Melayu dalam usaha menyekat kemaraan DAP – Zahid Mat Arip

Bekas Setiausaha Politik mantan Perdana Menteri Ke-7, Muhammad Zahid Mat Arip hari ini mengesahkan dakwaan Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad meminta beliau menggerakkan penyatuan Melayu dalam usaha menyekat kemaraan DAP adalah benar dan tepat.

“Saya mengesahkan apa yang disebut oleh Dato’ Seri Hamzah itu tepat, benar, tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka kerana saya terlibat membantu beliau  dalam menjayakan cita-cita Tun Dr Mahathir ini.

“Bukan itu saja, saya juga terlibat untuk mengatur beberapa pemimpin parti politik melayu berjumpa Tun Dr Mahathir dua atau tiga kali (bukan di pejabat, tapi di rumah Tun Dr Mahathir), dan dalam setiap pertemuan pemimpin-pemimpin dengan Tun Dr Mahathir mengambil masa sehingga sejam lebih.

“Jadi kalau sekali berjumpa ada pengumuman. Tapi kalau dah dua tiga  kali berjumpa, bukan ada pengumuman tapi perbincangan yang tertentu bagi menjayakan cita-cita Tun Dr Mahathir,” katanya.

Beliau turut menyatakan pergerakan berkenaan bukan sahaja bertujuan menyekat kemaraan DAP, malah Tun Dr Mahathir juga tidak mahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-8.

“Itu yang paling penting dan saya tanya Tun Dr Mahathir terus terang sama ada beliau mahukan Anwar Ibrahim atau tidak?

“Tun Dr Mahathir geleng kepala. Saya cakap kalau begini kita kena buat suatu langkah politik. Sebagai ahli politik, kita ambil langkah-langkah politik. Tun Dr Mahathir berkata buatlah apa saja, tapi jangan kaitkan nama beliau.

“Kita berusaha ke arah itu. Alhamdulillah hari ini kita keluar dari Parti Harapan (PH) dan Anwar Ibrahim tak jadi Perdana Menteri. DAP juga sudah tidak ada dalam kerajaan,” ujar beliau.

Beliau berkata punca Dato’ Seri Anwar Ibrahim ‘meroyan’ ingin menjadi Perdana Menteri ni apa adalah kerana janji dari mulut Tun Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir adalah menyebut beliau akan berhenti dalam tempoh dua tahun (9 Mei 2018 sehingga 9 Mei 2020).

“Jadi menjelang 9 Mei 2020, maka puak-puak Anwar Ibrahim, ahli-ahli parlimen, orang itu orang ini buat kenyataan, tulis buku, buat seminar dan ada juga di kalangan BERSATU yang cuba ‘membeli insurans’ awal daripada Anwar Ibrahim dan mereka adalah di kalangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi juga.

“Selepas itu, desakan demi desakan dibuat Dato’ Seri Mukhriz Mahathir sendiri di Kedah ditekan oleh wakil rakyat PKR di negeri berkenaan yang membuat kenyataan kononnya jika Tun Dr Mahathir  berhenti menjadi Perdana Menteri, Anwar Ibrahim akan majukan lagi negeri Kedah.

“Tun Dr Mahathir diasak, ditekan untuk berhenti dari menjadi Perdana Menteri. Kita tak izinkan Tun Dr Mahathir berhenti. Kita nak Tun Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Jadi, mulut Tun Dr Mahathir juga yang berkata dua tahun, sebab itulah Anwar Ibrahim ‘meroyan’ begitu.

Sampai dah tak reti naik commercial flight lagi dah. Bila nak ke mana-mana pun naik private jet. Dah berlagak macam Perdana Menteri dah. Namun, akhirnya Anwar Ibrahim tak jadi Perdana Menteri,” tambah beliau.

Dalam pada itu,  beliau yang juga Ahli Pimpinan Tertinggi BERSATU turut menitip pesanan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, ‘manusia merancang, Allah merancang, tapi perancangan Allah lebih baik’.

“Apabila Tun Dr Mahathir meletak jawatan, Anwar Ibrahim terlepas dan rezeki Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri ke-8,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah berbincang dalam mesyuarat parti untuk keluar dari PH.

“Mana boleh jawapan sebesar ini Tan Sri Muhyiddin pandai-pandai buat keputusan seorang. Sepertu didedahkan oleh Dato’ Seri Hamzah semalam, sebelum ada mesyuarat, ada pertemuan di rumah Tun Dr Mahathir.

“Ada perbincangan nak keluar PH. Perkara ini di dalam pengetahuan Tun Dr Mahathir dan dibincang panjang lebar dalam Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Kita buat keputusan terang-terang dalam rakaman suara itu dan boleh didengar semua. Ini bukan keputusan Muhyiddin seorang, ini adalah keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi,” ujarnya.

Muhammad Zahid menambah perkara yang tidak dilaksanakan adalah hasrat Tun Dr Mahathir untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas beliau berhenti dari jawatan Perdana Menteri.

“Itu langsung tidak dibincang dalam mesyuarat Majlis pimpinanTertinggi. Saya ahli Majlis pimpinan Tertinggi dan saya boleh mengesahkannya,” tambahnya.

Menjawab persoalan mengatakan Tun Dr Mahathir sudah mendapat majoriti sokongan dari 129 ahli parlimen, beliau berkata jika perkara berkenaan benar sudah tentu mantan PM ke-7 akan terus ke Istana Negara mengadap Yang diPertuan Agong.

“Kalau ada senarai 129 sokongan ahli parlimen,  Tun Dr Mahathir dah tunggu di pintu Istana. Beliau tak perlulah ke pejabat PPTN. Tak perlu ke Pejabat HQ BERSATU.

“Macam ni lah, Tun Dr Mahathir pernah berkata sebelum ini bahawa dia tidak akan berhenti untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin, spin-spin begini perlu dibuat. Ini hanyalah spin belaka. Saya tak fikir ada satu muslihat,” ujar beliau. –THE MALAYA POST.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments