Thursday, November 19, 2026
HomeBERITATransformasi Digital atau Privatisasi Tugas Awam?

Transformasi Digital atau Privatisasi Tugas Awam?

Menurut laporan The Star bertajuk “Ramssol appointed by MOT as JPJ collection agent”, anak syarikat Ramssol Group Bhd, iaitu Rider Gate Sdn Bhd, telah dilantik oleh Ministry of Transport Malaysia (MOT) sebagai ejen kutipan rasmi bagi urusan lesen, saman dan pemindahan hak milik kenderaan di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ).

Laporan menyebut pelantikan ini dijangka “contribute positively to the earnings and net assets per share of the company” dalam tahun kewangan 2025.

Diumumkan sebagai satu langkah transformasi digital, mengurus urusan kenderaan melalui platform elektronik dan “cuti kaunter fizikal”, pelantikan ini digambarkan sebagai usaha mempercepat proses dan memberi kemudahan kepada rakyat.

Tetapi kita harus bertanya, di mana garis pemisah antara “digitalisasi untuk kemudahan rakyat” dan “privatisasi fungsi awam untuk keuntungan korporat”?

Data rakyat: Dari kaunter kerajaan ke pelayan korporat

Pelantikan Rider Gate sebagai ejen kutipan bermakna sistem urusan kenderaan rasmi kini melalui pintu sebuah syarikat swasta. Menurut kenyataan pasaran, langkah ini turut dilihat sebagai cara memperkukuh rangkaian bisnes motosikal terpakai milik Ramssol, serta meningkatkan hasil syarikat.

Dengan erti lain: fungsi sensitif dan penting, lesen, pindah milik, saman yang selama ini diurus kerajaan, sekarang diproses oleh entiti komersial. Apabila hal sedemikian berlaku, data rakyat jadi aset komersial, bukan sekadar rekod kerajaan.

Kalau data itu benar-benar kekal di bawah kawalan kerajaan mengapa proses perlu bergantung kepada pihak ketiga? Siapa audit transit data? Siapa bertanggungjawab jika berlaku kebocoran atau penyalahgunaan? Soalan penting ini masih belum dijawab secara terbuka.

Caj, kos & akauntabiliti : Siapa benar-benar menanggung?

Mengikut maklumat rasmi, nilai kontrak bagi pelantikan ini bergantung kepada bilangan transaksi yang dilakukan melalui platform Rider Gate.

Ini membuka kemungkinan bahawa pengguna iaitu pemilik kenderaan, pemandu, perlu membayar caj transaksi.

Jika benar, maka perkhidmatan yang sebelum ini sebahagian daripada fungsi dasar kerajaan kini berubah kepada servis berbayar. Privatization of public duty dalam versi moden, lewat aplikasi, bukan kaunter.

Rakyat mesti diberitahu dengan jelas:

Apa caj dikenakan? Siapa bayar, pengguna atau subsidi kerajaan? Adakah caj ini wajar dan setimpal?

Jika tidak, maka “digitalisasi” hanyalah topeng bagi “pintu tol” baru terhadap perkhidmatan awam.

Kenyataan “Data Milik Kerajaan”: Cukupkah Untuk Jamin Privasi?

Sumber rasmi dan pengumuman menyatakan bahawa data kekal milik kerajaan walaupun diproses oleh syarikat swasta.

Tetapi dalam dunia data moden, siapa yang memegang akses teknikal dan laluan data adalah sama pentingnya dengan hak milik semata-mata.

Tanpa audit bebas, tanpa pengawasan ketat, dan tanpa jaminan ketelusan — pernyataan “milik kerajaan” boleh jadi retorik kosong. Data rakyat boleh diakses, disimpan, malah dieksploitasi oleh korporat, semuanya tanpa kawalan awam yang sebenar.

Privatisasi fungsi awam: Berjalan di bawah slogan reformasi

Kita bukan anti digitalisasi. Kita mendukung kemajuan. Tetapi apabila digitalisasi dipakai sebagai alasan untuk menyerahkan fungsi asas kerajaan kepada syarikat swasta , terutama dalam urusan kritikal dan rutin rakyat, itu sudah melangkaui sempad: dari inovasi ke privatisasi.

Jika ini diteruskan, kita bimbang bukan sahaja tentang lesen dan saman, tetapi potensi fungsi lain seperti cukai jalan, pendaftaran kenderaan, pajakan, denda, semuanya boleh “dialih keluar” ke entiti komersial. Sekali pintu dibuka, mustahil ia ditutup semula.

Seruan kepada Kerajaan: Jawab! Bukan sekadar umum!

Kami menuntut agar kerajaan, MOT & JPJ memberi penjelasan penuh segera tentang:

  • Proses pemilihan Rider Gate, adakah melalui tender terbuka?
  • Struktur caj, berapa, siapa bayar, ada subsidi atau tidak.
  • Mekanisme audit dan kawalan data, siapa audit?
  • Jaminan hak rakyat, akses adil, harga runcit (bukan harga korporat), dan pilihan antara kaunter kerajaan atau ejen swasta (jangan wajibkan swasta).

Tanpa jawapan tuntas, pelantikan ini adalah petanda awal bahawa fungsi awam sedang diswastakan, di sebalik slogan “reformasi” dan “digitalisasi”.

“Hak Rakyat Bukan Komoditi”

  • Transformasi harus memperkasa rakyat, bukan memperkayakan korporat.
  • Perkhidmatan awam bukan barangan pasaran.
  • Data rakyat bukan komoditi.
  • Dan hak rakyat bukan untuk dipajak.

Kalau kerajaan benar-benar serius ingin mengubah sistem, lakukan dengan telus, dengan kawalan awam, dengan pilihan untuk rakyat.

Bukan dengan pantomim ejen swasta di sebalik selimut digital.

Surat Pembaca TMP: ZAHRA LOO / KUALA LUMPUR

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments