Monday, May 13, 2024
HomeBERITATemasya sukan bertukar tragedi,16 cedera akibat Belon Helium meletup

Temasya sukan bertukar tragedi,16 cedera akibat Belon Helium meletup

PUTRAJAYA, 12 Oktober : Seramai 16 orang termasuk kanak-kanak melecur apabila belon helium yang menjadi ‘prop’ untuk program kecergasan sempena Bulan Sukan Negara 2019 di Dataran Putrajaya hari ini meletup.

Mereka yang cedera dalam insiden jam 11.30 pagi itu melibatkan sembilan kanak-kanak dan tujuh dewasa berumur antara 4 hingga 30-an.

Mangsa kini dirawat di Hospital Putrajaya dan ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hasan, kejadian dipercayai berpunca daripada perbuatan seorang individu yang cuba memutuskan benang ikatan belon dengan pemetik api yang kemudiannya menyambar belon helium berkenaan.

“Polis menjumpai pemetik api yang disyaki di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas program kecergasan itu selesai kira-kira 11 pagi iaitu sewaktu untuk “berkemas-kemas”.

Program kecergasan itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching pada sebelah pagi berjalan lancar. Pada program itu, Teo turut mengambil bahagian melakukan aktiviti kecergasan.

ACP Rosly berkata sehingga kini, masih belum ada pihak tampil untuk membuat laporan berhubung insiden itu.

Beliau berkata wakil penganjur atau mangsa boleh membuat laporan untuk membolehkan polis memulakan siasatan.

“Setakat ini belum ada sesiapa yang ditahan untuk siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya, Dr Khairul Nizam Hassan berkata tiada mangsa yang kritikal.

“Mangsa mengalami kesan terbakar tahap pertama dan tahap kedua. Kecederaan yang dialami mangsa berbeza ada yang dikening, rambut dan tangan. Tidak ada yang cedera satu badan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail turut melawat mangsa di Hospital Putrajaya, sejurus selepas menghadiri satu program sempena Hari Kanak-kanak 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya.

Dato’ Seri Dr. Wan Azizah ketika ditemui di Hospital Putrajaya selepas melawat mangsa berkata ada mangsa kanak-kanak yang ditemuinya trauma dengan kejadian itu sehingga tidak mampu untuk bercakap.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM sedia membantu dari segi kaunseling kepada mangsa.

“Sedih tragedi sudah berlaku di tempat yang sepatutnya ada temasya,” katanya.

SourceBernama
RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments