Diam tak diam, hanya berbaki 2.4 peratus sahaja lagi, kita akan mencapai 90 peratus, sejajar janji kerajaan membuka semula kelonggaran rentas negeri yang disekat sejak Januari lalu.
Setakat semalam, sebanyak 87.6 peratus atau 20,513,168 populasi dewasa di negara ini lengkap menerima vaksin Covid-19.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti ke mana-mana destinasi dalam tanah air sejak lebih 10 bulan tidak berjumpa dengan keluarga termasuk meraikan perayaan bersama sanak-saudara.
Yang pasti kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.
“Kita sudah pun melangkah ke bulan Oktober, dan sudah tiada negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara, dengan majoriti negeri berada di Fasa 2 dan 3 PPN. W.P Labuan dan Negeri Sembilan sudah pun di Fasa 4.
“Kita juga semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi. Sepertimana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri selepas kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.
“Berkat usaha dan perancangan yang cekap oleh Kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif selain mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam, bilangan kes positif telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan”, katanya.
Menerusi laporan portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah populasi dewasa sudah mendapat sekurang-kurangnya satu dos pula sebanyak 94.3 peratus bersamaan 22,081,548 juta orang.
Sementara itu, jumlah remaja yang sudah lengkap pelalian ialah 3.5 peratus bersamaan 108,826 orang dan jumlah remaja yang sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin terus meningkat kepada 55.7 peratus.
Secara keseluruhan pula, jumlah populasi negara yang sudah mendapatkan pelalian lengkap masing-masing ialah 63.1 peratus atau 20,621,994 orang menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Bagi kes kematian pula, seramai 14 orang dilaporkan meninggal dunia menjadikan keseluruhan kematian dicatatkan ialah seramai 26,683 sehingga setakat 11.59 malam tadi.
Tambah bekas Perdana Menteri ke-8, transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik.
“Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat.
“Setiap daripada kita harus mengambil langkah yang proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri dan saya yakin Kerajaan juga akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.
“Ingat, semakin ramai yang menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung dari dijangkiti dengan teruk oleh virus COVID-19. Dengan itu, beban kepada sistem kesihatan awam juga akan berkurang. Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan norma baharu. Sudah semestinya, semua ini dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan negara”, katanya dalam satu kenyataan di Facebook.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply