Saturday, July 27, 2024
HomeBERITASongket tenun tangan bakal berkubur?

Songket tenun tangan bakal berkubur?

Oleh Ibrahim Isa, Ahmad Rabiul Zulkifli dan Nurul Amanina Suhani

Industri warisan songket tempatan bakal pupus atau gulung tikar dalam tempoh beberapa tahun lagi jika kebanjiran songket India tidak dikawal.

Memetik laporan Akhbar Harian Metro, sikap tamak segelintir peniaga mengimport songket India untuk meraih keuntungan besar jelas boleh membunuh industri negara berusia lebih 500 tahun ini.

Sejarah songket tempatan yang bermula di pantai timur pada abad ke-15 mula menerima ancaman lambakan songket tiruan yang dibawa masuk secara besar-besaran ke dalam negara.

Tanpa disedari peminat songket tempatan berdepan kerugian besar apabila kebanyakan peniaga menjual songket India berkualiti rendah pada harga mahal seperti songket tulen sehingga mencecah ribuan ringgit.
Antara muslihat digunakan hanya menyediakan kotak eksklusif kepada pembeli, seolah-olah produk dijual tulen dan berkualiti tinggi sedangkan harga sebenar tidak sampai RM3,000.
Mendedahkan perkara itu, pemilik butik di Johor Bahru, Tengku Rosdi Tengku Abdullah berkata, orang kebanyakan sukar membezakan kedua-dua jenis songket ini hanya melalui mata kasar.

“Perbezaan ketara pada kain dan benang digunakan. Songket asli Terengganu menggunakan benang emas menyebabkan corak songket ‘naik’ tidak kira pada waktu gelap atau terang. Ada pembuat songket menggunakan benang emas import. Arwah bapa saudara saya yang terkenal sebagai Tengku Ismail Songket menggunakan benang emas dari England.

Hasilnya songketnya berkualiti tinggi, menarik dan corak disulam kemas menggunakan tenunan tangan. Itu menyebabkan songket ciptaannya terkenal di seluruh dunia,” katanya.

Sejak beberapa tahun lalu ramai peniaga membawa masuk songket India yang menggunakan benang dan kain biasa, namun dijual pada harga premium sehingga mencecah lebih RM20,000.

Katanya, bagi songket India Gred A, harga jualan sebenar hanya RM900 manakala Gred B dijual sekitar RM500 sepasang.

“Malangnya, songket India sama ada Gred A atau Gred B dijual pada harga RM3,000 hingga melebih RM20,000. Saya sedih melihat perkara itu berlaku kerana ia boleh membunuh industri songket tempatan.

Ada kedai dengan bangga mempamerkan songket ini dengan harga RM17,000 dan memberikan potongan istimewa sehingga 70 peratus kepada pembeli,” katanya.

Menurutnya, Kraftangan Malaysia sentiasa menjaga kualiti songket tempatan dan antara langkah diambil adalah mendaftar semua songket yang dikeluarkan.

Katanya, selain itu, setiap songket tempatan ada nombor siri dan label kraftangan yang dijahit di bahagian dalam.

“Pembeli boleh memeriksa nombor siri itu secara dalam talian. Bagaimanapun, tidak semua pembeli tahu hal ini. Mereka berminat dan ada wang beli songket tulen, malangnya diperdaya akibat sikap tamak peniaga.

Saya harap pihak berkuasa memantau dan mengambil tindakan kerana sekiranya berlanjutan, industri songket tempatan pasti terkubur,” katanya.

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments