Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyertai sesi plenari Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 secara sidang video bersama rakan-rakan sejawat dengan tema ‘Cohesive and Responsive ASEAN’.
Turut hadir pada sidang video terbabit ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Azmin Ali serta Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menerusi perkongsian di laman media sosial Facebooknya, Sidang Kemuncak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam itu antara lain membincangkan respon rantau Asia Tenggara terhadap COVID-19, impak sosial dan ekonomi akibat wabak itu, seterusnya merumuskan Rancangan Pemulihan Ekonomi Serantau.
Pada sesi intervensi, beliau mengajak semua pemimpin ASEAN agar mengambil sikap lebih proaktif dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19 di rantau ini bagi mendorong pemulihan ekonomi.
“Krisis kesihatan awam telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap ekonomi.
“Justeru, menjana semula ekonomi serantau seharusnya menjadi keutamaan ASEAN bagi mengurangkan gangguan perdagangan dan mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan di rantau ini,” ujar beliau.
Beliau turut berpendapat negara anggota ASEAN mesti merangka pelan yang mantap dan berkesan dengan segera bagi membolehkan pelaksanaan ‘travel bubbles’ iaitu perjalanan di antara negara yang telah dikategorikan ‘hijau’ COVID-19 bertujuan merancakkan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Saya jangka dalam waktu terdekat, negara-negara anggota ASEAN boleh membuka pintu masuk antarabangsa masing-masing yang secara tidak langsung akan merancakkan semula aktiviti pelancongan dan memberikan suntikan kewangan yang sangat diperlukan kepada ekonomi negara masing-masing,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan negara anggota ASEAN mesti bertindak pantas dan tegas dalam mengkoordinasikan tindak balas di peringkat serantau bagi menjana semula ekonomi.
Tindak balas yang dikoordinasi dengan baik akan memastikan ASEAN seluruhnya bangkit dari krisis ini dengan lebih kuat, sebagaimana krisis-krisis sebelumnya.
Beliau yakin Malaysia dan rakan-rakan negara anggota ASEAN dapat bekerjasama dengan rapat bagi mencapai persetujuan ke arah memeterai Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tahun ini.
Malaysia bersedia untuk mengadakan libat urus dengan India atas penyertaan berterusan mereka dalam RCEP, yang akan menyumbang kepada kemakmuran serantau.
Berhubung isu Rohingya, Perdana Menteri menekankan pentingnya ASEAN menangani kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia secara serius.
“Kita perlu mengambil pendekatan menyeluruh untuk menghentikan kegiatan ini yang boleh menggugat kestabilan rantau ini.
“Saya turut menyentuh isu pertikaian di Laut China Selatan dan menegaskan pendirian Malaysia bahawa penyelesaian damai perlu dicapai bagi mengekalkan perairan itu sebagai ‘a sea of peace and trade’.
Menyentuh isu Palestin, beliau dengan tegas mengulangi pendirian menyokong perjuangan rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Israel.
“Saya menyeru masyarakat antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu agar mengutuk dan menolak pencerobohan wilayah Palestin oleh rejim terbabit,” tegasnya.
– THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost
ASEAN: JANA SEMULA EKONOMI SERANTAU JADI KEUTAMAAN PASCA COVID-19 Pagi ini saya berpeluang menghadiri sesi plenari…
Posted by Muhyiddin Yassin on Friday, 26 June 2020

Leave a Reply