Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengkritik keras tindakan pihak tertentu yang didakwa sengaja menyembunyikan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 selama lebih setahun.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai jenayah serius, Shafee mendesak agar pelaku diheret ke muka pengadilan.
“Sebenarnya, kejujuran adalah teras pemerintahan yang baik, tetapi dalam kes ini, kejujuran itu telah lenyap sepenuhnya. Tiada ketelusan. Ini adalah salah guna kuasa yang jelas,” tegas beliau ketika ditemui media selepas prosiding mahkamah siang tadi.
Beliau turut mendakwa bahawa pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan titah berkenaan mempunyai agenda tersembunyi untuk memastikan Najib terus dipenjarakan tanpa peluang menjalani hukuman alternatif seperti yang telah diperuntukkan oleh pihak istana.
“Ini adalah perbuatan jenayah, dan pelaku perlu dihukum segera,” tambahnya.

Surat Majlis Kesultanan Pahang Sahkan Titah Adendum
Kritikan keras Shafee itu berikutan sepucuk surat rasmi bertarikh 4 Januari 2024 yang diterima Mahkamah Rayuan semalam daripada Majlis Kesultanan Pahang.
Surat tersebut mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dikeluarkan oleh YDPA ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Dalam titah tersebut, baginda menitahkan agar Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Surat itu dihantar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, kepada anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar. Dalam surat tersebut, Pengelola Bijaya memperakukan bahawa titah adendum tersebut adalah wujud dan sahih, sekaligus memberi kekuatan kepada hujah pembelaan Najib dalam kes rayuannya.
Dokumen baharu perkukuh rayuan Najib
Pengesahan titah ini sekali gus menafikan dakwaan bahawa ia sekadar ‘hearsay’ tanpa asas kukuh. Kewujudan dokumen tersebut memberikan asas kukuh kepada pasukan pembelaan Najib dalam usaha mereka mendapatkan semakan terhadap hukuman penjara yang sedang dijalani.
Menurut Shafee, pihaknya sedang meneliti tindakan lanjut yang boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyembunyikan titah tersebut, sambil menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar soal keadilan kepada Najib, tetapi juga melibatkan integriti institusi pentadbiran dan kehakiman negara.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply