Friday, July 19, 2024
HomeBERITASewaan di premis kerajaan turun 10 hingga 20 peratus

Sewaan di premis kerajaan turun 10 hingga 20 peratus

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Premis perniagaan di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi kerajaan yang disewakan kepada peniaga kecil dan penjaja diarah menurunkan kadar sewa minimum antara 10 dan 20 peratus mulai bulan depan.

Demikian kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi siang tadi.

Tan Sri Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, cadangan itu disyorkan dalam mesyuarat lepas pasukan itu.

Katanya ia berdasarkan pengalaman Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menguruskan kos ditanggung peniaga dan perkara itu dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapat dokongan semua kementerian dan agensi kerajaan dan telah direstui dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Beliau berkata, keputusan itu adalah usaha tambahan kerajaan untuk menyambung inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang melaksanakan pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), hingga mampu menawarkan menu makanan pada harga RM3.50.

“Terbukti itu dapat dilakukan. Maka kita memperluaskan dasar kecaknaan kepada peniaga kecil di mana premis di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Amanah Rakyat (MARA), agensi kerajaan dan kementerian perlu menurunkan sewa minimum 10 hingga 20 peratus,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini pada Khamis.

Tan Sri Annuar berkata, KWP melakukan penurunan kadar sewa dengan pemotongan 50 peratus melibatkan antara RM400 dan RM1,654 sebulan di premis DBKL, dan tindakan sama juga dilakukan Perbadanan Putrajaya (PPj) di medan selera, kiosk, trak makanan, lot kedai, peniaga program usahawan anak muda kota yang melibatkan 336 peniaga kecil di Putrajaya.

Tan Sri Annuar berkata, keputusan menurunkan kadar sewa itu adalah ‘tindakan simbolik’ yang menunjukkan bahawa ada elemen, barangan atau perkhidmatan yang sebenarnya boleh diturunkan harganya.

“Kita sebagai sebuah satu keluarga besar, Keluarga Malaysia perlu cuba untuk menurunkan harga supaya negara tidak terjebak dalam kitaran berlumba-lumba menaikkan harga sehingga ada kenaikan harga dilakukan hanya kerana sentimen bukan kerana faktor kos yang terlibat,” katanya.

Sebagai contoh, katanya, apabila harga minyak masak dan ayam turun sekarang dan harga elektrik pula tidak meningkat, dan ia jelas kos pengeluaran bagi sesetengah barang tertentu termasuk barangan bermasak sebenarnya boleh dikekalkan tanpa dinaikkan harga, dikembalikan kepada harga sebelum ini atau peniaga bersama-bersama menurunkan harga.

Tan Sri Annuar berkata, gerakan koperasi akan melancarkan barangan harga murah rangkaian koperasi pada 19 Ogos depan yang dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga pelaksanaan rangkaian jualan murah Keluarga Malaysia pada hari yang sama.

Beliau berkata, kaedah menurunkan kadar sewa premis, jualan murah di bawah rangkaian program koperasi atau penurunan harga barangan tertentu termasuk ayam, minyak masak dan telur diharap dapat menambah keyakinan rakyat untuk bersama mengawal situasi inflasi dan kenaikan harga barang selari dengan tema Hari Kebangsaan 2022 iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’. –THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments