Saturday, July 20, 2024
HomeBERITASambutan Hari Kebangsaan 2022 sangat meriah, kehadiran rakyat luar biasa

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 sangat meriah, kehadiran rakyat luar biasa

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, sangat meriah.

Lebih 100,000 memenuhi lokasi majlis dan kawasan sekitar berbanding 50,000 sasaran asal.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata pengunjung memenuhi kawasan perbarisan dan perarakan sepanjang tiga kilometer meliputi Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Raja Laut, selain sekitar Jalan Tun Perak.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa puas hati dengan kejayaan penganjuran sambutan kemerdekaan negara tahun ini, khususnya kelancaran persembahan dan perarakan yang membabitkan lebih 20,000 peserta dan 437 aset darat dan udara.

“Kehadiran pengunjung memang melebihi jangkaan, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak pantas dengan segera menambah anggota dan membuat kawalan trafik yang baik,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Bercakap pada sidang media selepas sambutan berkenaan, Tan Sri Annuar berkata, sejak malam tadi, pengunjung sudah berada di sekitar Dataran Merdeka dan pagi, mereka mula datang seawal jam 5 pagi.

“Pada jam 6 pagi, semua tempat duduk galeri sudah penuh, ini di luar jangkaan kita. Mungkin jumlah hadirin mencecah lebih 100,000 jika dibandingkan kehadiran pada acara masa lalu, kerana semua kawasan sepanjang tiga kilometer dipenuhi 100 peratus oleh pengunjung,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenaan menghadiri sambutan kemerdekaan ke-65 itu.

Acara perbarisan dan perarakan, yang diraikan tanpa kemeriahan hadirin sejak dua tahun lalu akibat pandemik, turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, serta barisan kepemimpinan negara.

Mengulas lanjut, Tan Sri Annuar percaya sambutan menggalakan pengunjung pada acara hari kemerdekaan ke-65 itu disebabkan keterujaan orang ramai untuk kembali menyaksikan perarakan dan perbarisan serta pameran aset pertahanan negara, selepas dua tahun tanpa persembahan berkenaan.

“Ia juga disebabkan faktor ‘feel good’ dalam kalangan rakyat, di samping tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ benar-benar mendapat sambutan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Tan Sri Annuar menzahirkan kekaguman pada kesungguhan 20,000 peserta menjayakan acara hari ini, yang disifatkan sempurna, khususnya dari segi penyelarasan masa antara persembahan di darat dan pergerakan aset udara.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong minta saya sampaikan rasa penghargaan Tuanku dan kagum melihat persembahan ditunjukkan semua kontinjen dan murid sekolah yang mengambil bahagian.

“Mudah-mudahan pada masa akan datang, kita boleh buat lebih baik lagi, khususnya pada sambutan Hari Malaysia di Melaka pada 16 September depan,” katanya.

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments