KUALA LUMPUR, 6 Mei – Malaysia kini berdepan cabaran besar dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), terutamanya apabila sektor penting seperti semikonduktor menjadi taruhan dalam percaturan ekonomi global yang semakin dipengaruhi oleh politik.
Dengan pendekatan tarif balas (reciprocal tariffs) yang dibawa semula oleh pentadbiran Trump, Malaysia tidak boleh sekadar mengikut arus.
Sebaliknya, negara perlu masuk ke meja rundingan dengan strategi yang jelas dan matlamat yang tegas untuk melindungi kepentingan jangka panjang, termasuk daya saing ekonomi dan pelaburan asing.
Menurut konsultan bebas yang juga bekas Pegawai Khas kepada Perdana Menteri ke-6, Datuk Mazri Muhammad, Malaysia perlu segera menetapkan kayu ukur kejayaan rundingan berkenaan khususnya bagi memastikan industri semikonduktor terus kekal menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara.
“Kalau kita masuk rundingan tanpa hala tuju yang jelas, kita akan rugi besar bukan saja dari segi pelaburan, tapi juga pekerjaan dan kedudukan kita di mata dunia,” katanya ketika dihubungi The Malaya Post.
Semikonduktor: Nadi teknologi negara yang perlu dilindungi
Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia, terutamanya dalam kerja-kerja pemasangan, ujian dan pembungkusan (ATP).
Pulau Pinang menjadi hab utama dengan syarikat gergasi seperti Intel dan Micron melabur di Malaysia.
Menurut laporan ISIS Malaysia bertajuk “Malaysia’s Semiconductor Ecosystem Amid Geopolitical Flux” (20 Jun 2024), kekuatan Malaysia terletak pada ekosistem yang mantap dan hubungan kukuh dengan pelabur dari Amerika. Namun, Malaysia juga berisiko tinggi sekiranya berlaku perubahan mendadak dalam rantaian bekalan global akibat persaingan antara AS dan China.
“Kelemahan utama Malaysia ialah keterdedahannya terhadap perubahan semula struktur rantaian bekalan global yang didorong oleh persaingan geopolitik,” jelas laporan itu.
Laporan itu juga menyarankan agar Malaysia tidak terus bergantung kepada kerja-kerja backend semata-mata, sebaliknya memperkukuh keupayaan di peringkat hulu seperti reka bentuk, pembangunan cip dan penyelidikan.
“Malaysia perlu melangkaui operasi backend dan memperkukuh keupayaan huluannya agar kekal berdaya tahan untuk jangka masa panjang,” memetik laporan itu.
Dalam pada itu Datuk Mazri berkata jika sektor semikonduktor Malaysia dikenakan tarif oleh AS, ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi bukan sekadar gangguan eksport, malah akan mendorong pelabur memindahkan operasi ke negara jiran.
“Kalau sektor semikonduktor kena tarif, itu game over. Pelabur akan pindah ke Vietnam atau negara lain yang dilihat lebih mesra AS,” tegasnya.
Beliau turut membangkitkan jurang besar antara kadar tarif Malaysia (24%) dan Singapura (10%) sekarang, yang bakal menjejaskan daya saing zon ekonomi khas dua negara.
“Kalau Singapura dikenakan 10% dan kita 24%, pelabur akan pilih Singapura. Kita akan kalah sebelum bertanding,” tambahnya.
Ancaman serantau semakin jelas
Negara seperti Vietnam, Thailand dan Filipina kini giat menarik pelabur AS. Mereka menawarkan kos buruh lebih rendah dan populasi besar, selain dagangan dua hala yang lebih besar berbanding Malaysia.
“Kalau mereka dapat kadar tarif sama atau lebih rendah daripada kita, Malaysia tidak akan jadi pilihan utama pelabur,” kata Datuk Mazri.
Indonesia: bukan ancaman, tapi jangan alpa
Datuk Mazri turut mengingatkan bahawa Indonesia mungkin muncul sebagai pesaing utama sekiranya berlaku perubahan dalam dasar politik dan pelaburan.
“Kalau Anies Baswedan jadi Presiden dan mula rapat dengan AS, kita akan berdepan cabaran baharu dari Indonesia,” ujarnya.
Surplus dagangan Malaysia-AS: Penampan yang perlu dikekalkan
Yang pasti, Malaysia kini mempunyai lebihan dagangan yang besar dengan AS, yang membantu mengimbangi defisit dagangan dengan China.
ISIS memberi amaran bahawa kehilangan lebihan ini boleh menyebabkan negara menghadapi defisit berganda defisit fiskal dan akaun semasa.
“Kalau kita hilang lebihan ini, nilai ringgit dan kepercayaan pelabur akan jatuh. Kita tak boleh benarkan itu berlaku,” jelas Mazri.
5 kayu ukur kejayaan rundingan
Datuk Mazri menyatakan bahawa “kemenangan” dalam rundingan tarif ini mesti berdasarkan 5 perkara utama:
- Kadar tarif Malaysia tidak lebih tinggi daripada Singapura
- Sektor semikonduktor dikecualikan daripada tarif
- Malaysia kekal lebih kompetitif daripada Vietnam, Thailand dan Filipina
- Zon ekonomi khas Malaysia-Singapura terus berfungsi dengan baik
- Surplus dagangan dengan AS dikekalkan
“Tarif hari ini bukan soal ekonomi semata-mata – ia senjata politik. Malaysia mesti bersedia bertindak, bukan hanya berharap,” tegasnya menutup perbualan.–THE MALAYA POST
Ikuti perkembangan lanjut rundingan Malaysia-AS di www.themalayapost.my

Leave a Reply