Saturday, November 21, 2026
HomeBERITARosmah Mansor gagal gugurkan Sri Ram, batal perbicaraan

Rosmah Mansor gagal gugurkan Sri Ram, batal perbicaraan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid RM1.25 bilion terhadapnya.

Turut ditolak permohonan untuk menggugurkan Datuk Gopal Sri Ram sebagai ketua pasukan pendakwaan dalam kes itu.

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya, kuasa yang diberi oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas kepada Sri Ram untuk mengendalikan pendakwaan dalam kes membabitkan pemohon adalah sah mengikut Seksyen 376(3) Kanun Acara Jenayah (CPC) di dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya.

Katanya, pelantikan Sri Ram adalah retrospektif dan ia digariskan dalam Seksyen 50(b) Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Justeru, mahkamah menolak permohonan pemohon.

Sebaik mendengar keputusan itu, Datuk Jagjit Singh memohon penangguhan prosiding perbicaraan kes di peringkat pembelaan pada 5 Oktober ini sehingga selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

Permohonan itu bagaimanapun dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Mahkamah kemudian menolak permohonan penangguhan prosiding perbicaraan.

Datin Seri Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lalu membenarkan rayuannya untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram selepas pendakwaan bersetuju memberikannya kepada pasukan pembelaan.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 November 2018, hari Datin Seri Rosmah didakwa di mahkamah dan tidak ditandatangani oleh Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas.

Sebaliknya surat itu bertarikh 8 Julai tahun lalu dan ditandatangani oleh Peguam Negara ketika ini iaitu Tan Sri Idrus Harun.

Pada 18 Februari 2021, Mohamed Zaini memerintahkan Datin Seri Rosmah membela diri terhadap semua tiga pertuduhan.

Datin Seri Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments