Di Melaka, seorang bapa dan tiga anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol, meliwat dan memukul seorang remaja perempuan yang juga ahli keluarga mereka sejak tahun lalu.
Tertuduh berusia 51 tahun dan tiga anak masing-masing berusia 23, 27 dan 29 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Merujuk kertas pertuduhan, tertuduh yang merupakan ketua keluarga itu didakwa dengan 33 pertuduhan kerana merogol mangsa yang berusia 17 tahun dua bulan, yang mana perhubungan tertuduh dengan anaknya itu adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk berkahwin dengannya.
Pendakwaan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.
Tertuduh juga berdepan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Dia turut didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan menggunakan getah paip.
Selain itu, dia juga didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sementara itu, ketiga-tiga abang mangsa masing-masing dihadapkan dengan 18 pertuduhan merogol dan turut didakwa atas Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Adik-beradik itu juga didakwa atas satu pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan, minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan keempat-empat tertuduh di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya dekat sini antara 1 Mac 2020 hingga 1 Februari 2021 lalu.
Nariman menetapkan tarikh 8 Jun ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Terdahulu, The Malaya Post melaporkan penderitaan lebih setahun seorang gadis berusia 18 tahun dirogol dan diliwat secara bergilir-gilir oleh bapa dan tiga abang kandungnya berakhir.
Ia apabila perbuatan terkutuk bapa dan tiga abang kandungnya menjadikan dirinya sebagai hamba seks terbongkar selepas mereka dicekup 21 April lalu.
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply