Friday, November 20, 2026
HomeBERITARentas negeri : Instafamous, suami dipenjara sehari dan denda RM2,500

Rentas negeri : Instafamous, suami dipenjara sehari dan denda RM2,500

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,500 terhadap pasangan suami isteri selepas mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu.

Tertuduh, Azharique Shah Abdul Jalil, 23 dan isterinya, Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan terbabit pada jam 2 petang 15 Mac lalu, ketika membuat permohonan untuk merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor, memberikan maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Balai Polis Wangsa Maju, Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar.

Dengan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 (D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala pasangan itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Ahmad Hakimi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana ia membabitkan isu keselamatan orang awam.

“Seperti dilihat dalam ‘instastory’ (muat naik gambar dalam Instagram) ada kata pujuk polis untuk rentas negeri, ini memberi kesan kepada orang awam.

“Sepatutnya kebenaran rentas negeri bukan untuk tujuan lain (tidak disalah guna). Kita lihat kes COVID-19 meningkat setiap hari.

“Dengan hukuman penjara, kita harap orang kena tuduh (OKT) dan individu lain tidak mengulangi perkara sama,” katanya.

Iram Naz dalam rayuannya memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia adalah wakil tunggal untuk menyara keluarga.

“Saya memohon hukuman minimum dan tidak dipenjarakan. Kami tidak akan ulangi kesalahan yang sama lagi selepas ini.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments