Raja dadah Colombia dicekup

0

Penyeludup dadah paling dikehendaki di Colombia, Otoniel dicekup dalam serbuan berhampiran sempadan Panama.

Otoniel atau nama sebenarnya, Dairo Antonio Usuga yang mengetuai kumpulan penyeludup dadah terbesar dikenali Gulf Clan, ditahan di sebuah pusat operasi utamanya di Necocli.

Lapor BBC News, rakaman imej didedahkan kerajaan menunjukkan individu berusia 50 tahun itu digari dan dikelilingi tentera.

Presiden Ivan Duque, menyifatkan penahanan Otoniel adalah kejayaan besar dan boleh dibandingkan dengan kejatuhan raja penyeludup dadah Colombia, Pablo Escobar.

“Ini adalah serbuan paling sukar dan berjaya dalam menumpaskan sindiket penyeludupan dadah pada abad ini,” katanya.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM20.75 juta) kepada mana-mana pemberi maklumat untuk menahan Otoniel yang turut disifatkan sebagai individu paling ditakuti di Colombia.

Otoniel pernah didakwa di AS pada 2009 dan berdepan ekstradisi ke negara berkenaan di mana dia akan dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan New York.

Biarpun Otoniel mengumumkan bahawa dia berhasrat mengadakan perjanjian untuk akur kepada sistem keadilan Colombia pada 2017, kerajaan bagaimanapun mengerahkan 1,000 tentera untuk memburunya.

Baru-baru ini, kumpulan sindiketnya ditumpaskan pihak berkuasa sehingga memaksa Otoniel bersembunyi dalam hutan tanpa sebarang komunikasi.

Otoniel mengambil alih Gulf Clan yang sebelum ini dikenali Usuga Clan daripada abangnya, Juan de Dios yang terbunuh dalam operasi polis pada 2012.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

Leave a Reply