Pusat Racun Negara sahkan produk viral cegah COVID-19, “Health Tag” tidak berkesan!

0

Jika sebelum ini heboh di laman sosial mengenai isu penggunaan herba daun semambu mampu mencegah serta merawat COVID-19, kini timbul satu lagi dakwaan karut mengenai kaedah pencegahan wabak berkenaan.

Kali ini melibatkan produk moden pula iaitu kad yang digantung pada baju (‘health tag’) yang mengandungi bahan kimia Chlorine Dioxide.

Produk berkenaan kini tular dan laris penjualannya melalui atas talian kerana ada pihak yang mendakwa kad berkenaan mampu bertindak mencegah jangkitan virus dan bakteria melalui pembebasan gas Chlorine Dioxide pada sipemakainya.

Menurut perkongsian di laman Facebook Pusat Racun Negara, satu kajian khusus telah dijalankan dan berkenaan keberkesanan produk seumpama ini telah pun diterbitkan melalui artikel “Hidekazu NISHIMURA, Investigation on Practical Usefulness of Body-worn Devices that Claim to Release Chlorine Dioxide, Japanese Journal of Environmental Infections 32(4):222-226 pada Julai 2017.

Hasil daripada kajian ini mendapati tiada kesan pembasmian kuman atau virus yang akan berlaku malahan gas yang dibebaskan adalah sangat rendah atau tidak dapat dikesan langsung.

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=881950098916926&id=416430928802181?sfnsn=mo

Hasil kajian tersebut membuktikan pemakaian “health tag” seperti yang diwar -warkan adalah tidak berkesan sama sekali untuk mencegah jangkitan kuman atau virus sedia ada apatah lagi COVID-19.

Chlorine Dioxide merupakan gas yang bersifat merengsa terutama kepada saluran pernafasan bergantung kepada kuantiti dan kepekatan gas yang terdedah.

Apa yang lebih dibimbangi adalah kepercayaan pengguna terhadap produk ini, kerana ia akan menyebabkan mereka merasakan selamat dan dilindungi daripada jangkitan.

Akibatnya pengguna mungkin akan bersikap kurang berhati-hati dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan yang terbukti berkesan seperti kerap membasuh tangan dan penjarakkan sosial.

Oleh itu jangan mudah terpedaya dengan petua atau ‘produk segera’ yang diragui kesahihannya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply