KUALA LUMPUR, 5 Sept – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata politik negara hanya stabil jika teras dan tiang seri politik kukuh.
Teras itu berpaksikan politik orang Melayu yang mantap.
Justeru Tan Sri Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, memberikan bayangan bahawa parti itu perlu menerima kerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Tegas beliau, pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama dengan Umno seperti yang diterjemahkan dalam muktamarnya baru-baru ini, perlu dilihat secara positif.
“Saya mengikuti dengan rapat muktamar Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan resolusi yang diputuskan di muktamar tersebut.
“PAS telah mengambil satu langkah strategik bila mengistiharkan dasar meneruskan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Pendirian PAS harus dilihat secara positif dan terbuka. Strategi PRU15 perlu digarap rapi dan bukan atas dasar emosi, atau kepentingan diri,” kata Annuar dalam satu kenyataan.
Katanya PRU perlu disegerakan sebaik saja Umno bersiap siaga daripada semua sudut.
“Salah satu dari kesiapsiagaan terpenting adalah the winning formula, formula untuk menang. Menyegerakan PRU bagi memenuhi tujuan lain, tetapi jika membawa padah, adalah satu tindakan “kamikaze” politik buat Umno. Kita harus elakkan itu.
“Kita harus membuat kajian terperinci dan objektif. Data dan hasil penyelidikan yang rapi diperlukan. Kesilapan lampau jangan berulang,” kata Tan Sri Annuar di Facebook.
Tambah Tan Sri Annuar, UMNO tidak harus terjun dalam PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah.
“Perpaduan Melayu menjadi teras kekuatan Umno selama ini. Sejak penubuhannya pada 1946, Umno adalah tonggak perpaduan orang Melayu yang paling utama.
“Umno tidak harus terjun dalam PRU tanpa menyempurnakan penyatuan Melayu, apa lagi cuba bergerak solo dalam situasi politik yang sudah banyak berubah,” katanya.
Katanya usul penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu- Islam yang dibawa Dewan Ulama PAS Pusat diterima sebulat suara dalam muktamar parti itu semalam, dengan menyertakan Umno di dalamnya.
Pun begitu, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi berulangkali menegaskan tidak akan bekerjasama dan melakukan rundingan dengan PAS.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply