Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dilaporkan meninggal dunia di Hospital Prince Court di ibu negara akibat sakit tua pada 4.30 petang hari ini.
Menurut isterinya, Rohayah Ahmad Bahiran, jenazah Prof Ungku Aziz, 98, akan dibawa ke Masjid At-Taqwa dan dijangka dikebumikan pada malam ini.
Dilahirkan pada tahun 1922 di London, England, Profesor Diraja Ungku Abdul Azizmendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru.
Seterusnya, memperolehi Diploma in Arts daripada Raffles College, Singapore pada tahun 1947 dan diikuti Bachelor of Arts (Honours) in Economics dari Univerisity of Malaya, Singapore pada tahun 1951. Pada tahun 1964 beliau memperolehi ijazah Doctor of Economics dari Waseda University, Tokyo.
Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam dengan Kerajaan Negeri Johor.
Pada tahun 1952 beliau mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang Ekonomi di Universiti Malaya.
Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima (5) tahun mulai tahun 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran pada tahun 1965 hingga 1968.
Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menempa sejarah apabila dilantik sebagai Naib Canselor, Universiti Malaya selama dua puluh (20) tahun dari tahun 1968 hingga 1988.
Dalam tempoh tersebut juga beliau turut memegang jawatan Presiden ANGKASA, jawatan yang dipegangnya hingga kini, dan berkhidmat sebagai Penasihat atau Ahli Jawatan kuasa Penasihat kepada beberapa institusi tempatan dan antarabangsa.
Sumbangan beliau pada negara bukan sahaja dalam bidang Akademia, tetapi juga telah membawa idea penubuhan Tabung Haji dan menjadi Pengarah Pengasas bagi Dewan Bahasa dan Pustaka.
Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz sepanjang tahun 1971 hingga 2005, telah dianugerahkan berbilang ijazah kehormat daripada institusi tempatan dan antarabangsa.
Antaranya, Doctor of Humane Letters dari University of Pittsburgh, Doctor of Education dari Chulalongkorn University, Royal Professor of Economic oleh DYMM Yang DiPertuan Agong, Doctor of Laws dari University of Strathclyde dan Doctor of Economics dari Universiti Malaya.
Kami warga kerja portal The Malaya Post mengucapkan salam takziah buat keluarga arwah. Didoakan semoga roh arwah ditempatkan bersama para Syuhada.
Al-Fatihah.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply