KUALA LUMPUR, 26 FEB – Malaysia kini bersedia melangkah ke era baharu dalam pendidikan tinggi dengan penyempurnaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035).
Pelan strategik itu bakal menjadi panduan utama dalam membentuk ekosistem akademik negara untuk tempoh sedekad akan datang.
Dalam sebuah majlis bersejarah hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Kadir secara rasmi menerima naskhah blueprint PPTM 2025-2035 daripada Ketua Jawatankuasa Pakar, Datuk Prof. Emerita Dr. Asma Ismail.
Majlis ‘Sign-Off’ itu menandakan satu lagi pencapaian penting bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara.

Ironinya sejak awal menyertai KPT, Dato, Seri Dr. Zambry berkata Malaysia memiliki kepakaran tempatan yang mampu merangka strategi pendidikan tinggi berskala besar tanpa perlu bergantung kepada pihak luar.
Keyakinan itu kini terbukti dengan kejayaan pembangunan PPTM 2025-2035, yang telah melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi, dan tinjauan kebangsaan selama hampir sembilan bulan.
“Ini adalah hasil usaha kolektif dan kesungguhan pakar akademik serta kumpulan penulis dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Ia merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan, dan penglibatan 181 individu, termasuk pakar dalam pelbagai bidang. Yang lebih membanggakan, pelan ini dihasilkan sepenuhnya oleh anak tempatan,” ujar Dr. Zambry.
Beliau turut menyatakan bahawa pelan ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara tetapi juga meletakkan Malaysia sebagai hab pendidikan global dan rujukan utama dalam bidang akademik antarabangsa.
Dr. Zambry menekankan bahawa kejayaan PPTM 2025-2035 tidak terletak pada dokumennya semata-mata, tetapi pada pelaksanaan yang menyeluruh dan berkesan.

“Apa yang lebih penting ialah bagaimana setiap perancangan di dalam blueprint ini diterjemahkan ke dalam tindakan yang memberi impak nyata kepada pelajar, institusi pendidikan, dan seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara. Jika pelaksanaan tidak dilakukan dengan baik, ia hanya akan menjadi dokumen di atas kertas,” tegasnya.
PPTM 2025-2035 kini akan dibawa ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan secara rasmi tahun ini.
Ia dijangka membuka lembaran baharu dalam pendidikan tinggi Malaysia, dengan penekanan terhadap kualiti akademik, inovasi dalam pembelajaran, keterlibatan industri, dan daya saing universiti tempatan di peringkat global.
“Ini bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi satu komitmen bersama untuk memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, kompetitif, dan mampu melahirkan modal insan yang berdaya saing di persada dunia,” tambah Dr. Zambry.

Dengan pelaksanaan yang berkesan, Malaysia kini bersedia menjadi pusat rujukan pendidikan tinggi bertaraf dunia, mencorakkan masa depan akademik yang lebih gemilang untuk generasi akan datang.–THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply