PPN : Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak dan Perlis beralih ke fasa kedua

0

Negeri Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis memenuhi semua nilai ambang untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa Isnin ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pengumumannya kepada sidang media memberitahu perkembangan itu berdasarkan kesemua negeri berkenaan telah mencatat liputan vaksin lengkap melebihi 10 peratus.

Selain itu, kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) bagi menyediakan rawatan kepada pesakit COVID-19 di negeri terbabit turut merekodkan penyusutan daripada paras kritikal ke peringkat sederhana.

Beliau membah, kerajaan bersetuju meluluskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara dibuat di peringkat negeri tanpa menunggu kemajuan di peringkat Persekutuan. Ada semakan tertentu terhadap nilai ambang yang dilakukan.

“Dua nilai ambang, iaitu masing-masing bagi liputan vaksin dan katil ICU masih sama seperti digunakan di peringkat Persekutuan, cuma yang berubah ialah kadar purata kes COVID-19.

Berdasarkan perangkaan semasa dari 1 Jun hingga 1 Julai lalu, Tengku Zafrul menjelaskan kebanyakan negeri merekodkan penyusutan mendadak purata kes COVID-19, dengan Terengganu mencatatkan kadar perubahan terbesar iaitu 86.1 peratus. Kelantan pula melakar pengurangan purata kes pandemik sebanyak 83 peratus, disusuli Perlis 75 peratus, Pulau Pinang 57.4 peratus, Kedah 53.3 peratus, Johor 48.4 peratus dan Putrajaya 40.5 peratus.

“Secara keseluruhan, sembilan negeri sudah melepasi nilai ambang kes purata COVID-19 untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang dan Perak.

“Sabah dan Terengganu pula sudah beralih ke fasa ketiga, bersandarkan nilai ambang purata kes COVID-19, manakala hanya Perlis yang mengecapi fasa keempat.”

Sekiranya diteliti nilai ambang bagi liputan vaksin pula, beliau menjelaskan sembilan negeri dan semua Wilayah Persekutuan sudah cukup syarat untuk beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.

“Negeri berkenaan ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis dan Sarawak, selain Putrajaya, Labuan serta Kuala Lumpur,” katanya.

Tengku Zafrul berkata keputusan untuk membenarkan peralihan mengikut peringkat negeri diharap berupaya menjadi insentif dan galakan ke arah membasmi penularan pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, beliau meletakkan harapan untuk negeri lain mengikuti jejak langkah sama, dengan melakar kemajuan dan memenuhi tiga nilai ambang seperti digariskan dalam PPN.

Sementara itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan fasa kedua bagi lima negeri berkenaan akan berkuat kuasa mulai Isnin ini. Menurutnya, Fasa kedua masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dengan aktiviti sosial kekal ditutup dan sekatan pergerakan seperti mana fasa pertama.

Perbezaan utama antara fasa pertama dan kedua adalah dari segi kebenaran peningkatan kapasiti fizikal daripada 60 peratus kepada 80 peratus meliputi sektor dibenarkan selain penambahan beberapa sektor dalam senarai positif yang boleh beroperasi.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply