Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan para pekerja dan majikan agar sentiasa mematuhi Akta Kerja 1955, Akta Perusahaan 1966 dan akta-akta perburuhan di bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedang berkuatkuasa.
Pada perutusan khas sempena Hari Buruh, beliau berkata Kementerian Sumber Manusia telah mengeluarkan panduan pelaksanaan bayaran gaji penuh, bayaran gaji cuti sakit dan hospitalisasi bagi pekerja yang dikuarantin, alternatif tindakan cuti tanpa gaji dan pengurangan gaji dengan persetujuan bersama di antara majikan dan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Panduan ini boleh dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia.
“Semua majikan dikehendaki mematuhi garis panduan mengenai pengendalian isu berhubung penularan COVID-19 di tempat kerja, khususnya yang membabitkan perintah kuarantin, cuti sakit dan pemberhentian pekerja.
“Majikan juga boleh mengambil langkah sewajarnya untuk mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan COVID-19 seperti yang disyorkan dalam tatacara keharmonian perusahaan atau Code of Conduct, iaitu mengehadkan kerja lebih masa dan mengurangkan hari bekerja dalam seminggu atau mengurangkan bilangan kerja seminggu,” ujar beliau.
Beliau turut menzahirkan harapan agar semua warga pekerja dan majikan dapat terus mendokong dan menjiwai cara kerja baharu atau norma baharu pekerjaan dalam keadaan negara sedang menangani wabak COVID-19.
* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply