Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAPM kunjungi SMK Datok Lokman, tinjau hari pertama persekolahan

PM kunjungi SMK Datok Lokman, tinjau hari pertama persekolahan

Hari ini merupakan hari pertama sesi persekolahan bagi pelajar tingkatan lima dan enam setelah arahan penutupannya dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disusuli dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkongsi pengalamannya singgah dan meninjau sendiri suasana hari pertama persekolahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

Menerusi perkongsian di laman media sosial Facebooknya, sejurus tiba beliau perlu melalui proses saringan suhu badan di pintu masuk sekolah sebelum diiring oleh Guru Besar, Latifah Mohd Yusof melewati laluan khas bertanda memasuki kawasan sekolah.

Beliau seterusnya dibawa ke dewan utama bagi sesi taklimat.

“Pada taklimat itu, saya dimaklumkan bahawa sesi pembelajaran di sekolah ini hanya melibatkan pelajar tingkatan lima berjumlah 255 orang.

“Mereka kini dibahagikan kepada 14 kelas berbanding sembilan kelas sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Saya kemudiannya meninjau aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Menerusi pemerhatian saya, semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan seperti penjarakan sosial dan kelas tidak boleh melebihi 20 orang dipatuhi oleh pihak sekolah berkenaan,” kongsinya.

Memahami setelah tiga bulan tidak bersekolah, pastinya perasaan bercampur baur dirasai para pelajar apabila dibenarkan kembali semula ke sekolah.

Perkara itu diluahkan sendiri oleh para pelajar kepada Perdana Menteri.

“Ada antara mereka mengakui berasa gementar atau bimbang dengan keselamatan diri berikutan ancaman pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

“Mereka bagaimanapun tetap teruja kerana dapat kembali bersua muka dengan guru dan rakan-rakan setelah sekian lama sesi pembelajaran hanya berlangsung secara dalam talian,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada para guru, pejabat pendidikan negeri dan daerah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang telah melakukan persediaan rapi bagi memastikan garis panduan serta penyediaan SOP dapat dipenuhi sebelum sesi persekolahan bermula.

Langkah ini menurutnya akan memberi lebih keyakinan kepada ibu bapa bahawa keselamatan anak-anak sentiasa diberi keutamaan sepanjang mereka berada di sekolah.

“Bagi SMK Datok Lokman, saya dapat saksikan kesungguhan pengurusan sekolah memenuhi SOP ditetapkan bermula daripada ketibaan pelajar sehingga mereka pulang.

“Saya saksikan sendiri saringan suhu dibuat di pintu masuk sekolah, sebelum ditulis di atas pelekat yang kemudiannya dilekatkan di lengan baju pelajar.

“Stesen cuci tangan pula diletakkan di luar bilik darjah bagi memastikan pelajar kerap mencuci tangan,” tambahnya.

Beliau turut dimaklumkan bahawa waktu rehat telah dipecahkan kepada tiga fasa dengan tempahan makanan melalui guru kelas.

Makanan yang ditempah dari kantin atau dibawa sendiri hanya dibenarkan dimakan di dalam kelas.

“Insya-Allah, dengan persediaan rapi dan pelaksanaan serta pematuhan SOP yang betul oleh semua pihak, saya yakin risiko jangkitan wabak dalam kalangan pelajar dapat dielakkan,” kata beliau.

Beliau turut berpesan agar para pelanjar dan warga sekolah sentiasa berdisiplin dalam menjaga kebersihan diri, kerap mencuci tangan, jaga penjarakan sosial serta elak berada di tempat yang sesak dan sempit.

Perdana Menteri turut memberikan kata-kata semangat dan mendoakan agar para pelajar yang kembali bersekolah dilindungi Allah dan dipermudahkan urusan dalam mengharungi kebiasaan baharu persekolahan.

Kami warga kerja Portal The Malaya Post mengucapkan selamat maju jaya buat anak-anak harapan masa depan negara ini.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Pagi tadi saya singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur, bagi…

Posted by Muhyiddin Yassin on Wednesday, 24 June 2020

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments