Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAPeserta India dinobatkan Miss Universe 2021

Peserta India dinobatkan Miss Universe 2021

Harnaaz Kaur Sandhu dari India dinobatkan sebagai Miss Universe 2021 ke 70 pada pertandingan yang berlangsung di Eilat, Israel.

Acara gilang gemilang yang disiarkan secara langsung di seluruh dunia itu menyaksikan wanita berusia 21 tahun ini berjaya mengenepikan pesaing dari 80 buah negara, dan membanggakan India dengan membawa pulang mahkota idaman.

Untuk rekod, kali terakhir India menjulang kemenangan ialah 21 tahun lalu ketika Lara Dutta menyandang gelaran itu pada 2000.

Penyampaian mahkota dilakukan oleh Miss Universe 2020, Andrea Meza dari Mexico.

Naib juara menjadi milik peserta Paraguay manakala tempat ketiga pula berpihak kepada peserta dari Afrika Selatan.

Selain memiliki raut wajah jelita, pelajar pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam berketinggian 1.76 meter ini juga bijak dan petah pada setiap tutur katanya.

Ini dapat dilihat pada jawapan bernas yang mengagumkan pihak juri ketika ditanya soalan bagi meloloskan diri ke pusingan akhir (3 teratas).

Soalan itu berbunyi, “Ramai orang menganggap perubahan iklim adalah suatu penipuan. Apakah yang akan anda lakukan untuk meyakinkan mereka sebaliknya?”

Harnaaz membalas, “Hati saya hancur melihat bagaimana alam semulajadi melalui banyak masalah, dan ini semua disebabkan oleh tingkah laku manusia yang tidak bertanggungjawab.

“Saya benar-benar merasakan bahawa sudah tiba masa untuk kita kurang bercakap dan segera mengambil tindakan. Setiap tindakan yang sama ada boleh menyelamatkan atau membunuh alam.

‘Mencegah dan melindungi adalah lebih baik dari melakukan kesilapan lalu membaiki keadaan. Inilah yang saya cuba yakinkan kepada anda hari ini.”

Manakala soalan terakhir (top 3) yang diaju kepadanya berbunyi, “Apakah nasihat anda kepada wanita muda cara bagaimana menangani tekanan yang mereka hadapi hari ini”

Harnaaz menjawab, “Tekanan terbesar yang dihadapi oleh belia hari ini adalah untuk mempercayai diri sendiri.

“Keyakinan bahawa dirimu unik menjadikan anda cantik. Berhenti membandingkan diri dengan orang lain dan mari bercakap tentang perkara lebih penting yang berlaku di seluruh dunia.

“Keluar, bercakap untuk diri sendiri, kerana anda adalah pemimpin hidup anda. Anda mewakili suara anda sendiri.

“Saya percaya pada diri saya sendiri dan itulah sebabnya saya berdiri di sini hari ini,” jawapan penuh yakin yang membawa Harnaaz ke mercu kejayaan.

Berkongsi pengalaman, persiapannya untuk mewakili India dalam pertandingan Miss Universe ini dilakukan dalam masa yang singkat serta dia sangat berterima kasih kepada mereka yang bertungkus-lumus menjadi tulang belakang dan membantunya.

“Saya percaya saya satu-satunya calon yang mendapat masa paling singkat untuk membuat persediaan.

“Tetapi pasukan saya telah melakukan banyak usaha untuk mengeluarkan versi terbaik dari India. Saya menerima banyak latihan dari segi komunikasi dan membina keyakinan diri untuk berdiri di pentas yang gah ini.

“Saya berjanji bahawa mereka akan gembira menikmati proses itu dan memastikan semua usaha ini tidak akan sia-sia.”

Menyelusuri perjalanan hidupnya, wanita berasal dari Chandigarh, India ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Awam Shivalik. Ini diikuti dengan Kolej Kerajaan Lepasan Siswazah Perempuan di Chandigarh.

Memulakan perjalanan dunia glamour apabila menyertai dan memenangi pertandingan Times Fresh Face Miss Chandigarh pada 2017, diikuti gelaran Miss Max Emerging Star India pada 2018 dan Femima Miss India Punjab 2019.

Melangkah maju, Harnaaz turut berjinak dalam bidang seni dengan membintangi filem Punjabi berjudul “Yaara Diyan Poo Baran” dan “Bai Jo Kutange”.

Tahniah kepada Harnaaz. Semoga menjadi inspirasi buat anak muda agar terus berusaha dan berjaya. Keep up the positive vibes.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

 

 

 

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments