Pesanan Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz kepada Melayu

0

Petang kelmarin negara dikejutkan dengan berita duka pemergian seorang tokoh akademik terbilang negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang dilaporkan meninggal dunia di Hospital Prince Court di ibu negara akibat sakit tua.

Beliau yang juga lebih mesra dipanggil Pak Ungku, seorang intelektual yang menabur banyak bakti dan jasa terhadap negara terutama dalam dunia pendidikan negara sehingga beliau dinobatkan sebagai cendekiawan Melayu ulung.

Beliau yang cukup berbangga menjadi bangsa Melayu juga seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara.

Kami amat berbesar hati untuk kongsikan kata-kata hikmah dan pesanan beliau untuk bangsa Melayu.

Untuk menjadi seorang Melayu Unggul atau yang terbilang, seseorang perlu mempunyai prinsip dan hala tuju hidup.

Hala tuju hidup Pak Ungku Aziz adalah berteraskan kepada apa yang pernah dinukilkan oleh Za’aba, “kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai.”

Beliau menyarankan  semua anak Melayu membaca setiap karya Za’aba kerana menurut beliau, “dalam buku itu ada amanat penting Za’aba yang menunjukkan bagaimana orang Melayu boleh berjaya dan menjadi unggul.”

Pak Ungku Aziz berpendapat bahawa masalah utama yang membelenggu Melayu hari ini terutama golongan remaja ialah kekurangan jati diri sendiri.

Jati diri mampu membentuk orang Melayu menjadi lebih hebat daripada sekarang dan menurut Ungku Aziz juga, media antara medium yang mampu mencorakkan semula jati diri Melayu yang hilang.

“Siapakah aku?”

Soalan semudah dari Socrates yang bertanyakan diatas pun masih belum mampu dijawab oleh mereka.

Bayangkan bagaimana mereka mahu mencapai sesuatu yang hebat sepanjang penubuhan tamadun mereka?

Menurut beliau lagi, pendidikan mampu membentuk jati diri anak Melayu.

Orang Melayu harus didedahkan dengan tokoh-tokoh Melayu yang hebat dalam sejarah yang mampu membawa kesan positif.

Model untuk orang Melayu bangkit daripada lena sudah tersemat pada sejarah dan sebagai contoh, beliau memetik Hang Tuah dan menyarankan sifat-sifat positif pada batang tubuh Hang Tuah dijadikan contoh oleh orang Melayu moden.

Katanya, model-model hebat Melayu pada abad silam ini mampu membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin pada masa hadapan yang memberikan harapan kepada bangsa. Katanya yang menjadi tamparan buat saya sebagai penulis :

“Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja.”

Beliau mengkritik bagaimana sikap orang Melayu yang tidak mempunyai perasaan ingin tahu dan budaya banyak bertanya dijadikan taboo dalam pemikiran setiap anak Melayu.

Pemikiran saintifik sepertinya sudah hilang dalam masyarakat Melayu dan beliau membandingkan ketika zaman Renaissance di  Eropah. Beliau dipetik pernah berkata :

“Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya : Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.”

Apa yang beliau ingin sampaikan ialah perasaan ingin tahu harus ditanam jauh dalam jiwa anak Melayu sambil diselitkan dengan sedikit rasa skeptikal tidaklah bermasalah.

Ilmu pengetahuan tidak akan lahir tanpa perasan ingin tahu daripada anak Melayu.

Beliau menyimpulkan bahawa penyakit ini datang dari trend penjajah British yang sudah membentuk fikiran seperti ini selama beratus tahun.

British tidak mahu percambahan intelektual di Malaysia akan mewujudkan bijak pandai yang akan menggulingkan pemerintahan Jepun di Malaysia. Virus yang dibawa oleh British ini masih lagi bernanah dalam setiap jiwa anak Melayu.

Antara bait kata ringkas tapi penuh makna dari beliau yang boleh kita ambil sebagai pengajaran dan tauladan ;

“Rajin bekerja, Rajin bercakap” – bagus

“Rajin bekerja, malas bercakap” – kena buli

“Malas bekerja, Rajin bercakap” – wayang cina

“Malas bekerja, malas bercakap” – tak guna

“Malas bekerja, suka mengadu” – lalat hijau

“Malas bekerja, suka ponteng” – lebih baik berhenti

“Malas bekerja, suka termenung – lebih baik mati

Selamat tinggal permata negara. Hilangnya seorang ilmuan dan tokoh pendidikan negara.

Hadirmu satu dalam sejuta, pergimu tiada pengganti.

Kami seluruh warga kerja portal The Malaya Post mendoakan agar roh Almarhum Pak Ungku Aziz ditempatkan bersama para Syuhada.

Al-Fatihah.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply