Peruntukan RM50 juta bantu penerbit filem terbit filem kenegaraan, perpaduan – Annuar Musa

0

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mewujudkan dana bagi membantu penerbitan filem tempatan berunsur kenegaraan dan mempunyai eleman perpaduan dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan itu.

“K-KOMM ada membuat permohonan pada MOF untuk mendapatkan dana lebih fleksibel. Ini kerana saya dapat tahu banyak juga idea menghasilkan filem bermutu apabila duduk bersama penerbit filem tempatan.

“Namun, kekangan utama adalah kos tinggi dan kita pula ada had tertentu. Jadi, selain DKD dan FIMI, K-KOMM cuba memperoleh dana yang boleh membantu penerbit menghasilkan filem bergenre kenegaraan.

Itu yang sedang saya usahakan dan doakan secepat mungkin,” katanya.

Tan Sri Annuar berkata sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), sangat diperlukan agar lebih banyak filem kenegaraan dapat dihasilkan.

“FINAS boleh menggunakan kreativiti dalam memilih filem berkualiti untuk menerima dana ini. Usaha ini untuk menggalakkan lebih banyak penulis skrip meneroka dan mencungkil khazanah yang boleh membangkitkan semangat patriotisme dan sejarah negara.

“Sebabnya, saya mula mempunyai keyakinan baru penerbit di Malaysia cukup kreatif dan berkeupayaan, malah pelakon Malaysia juga mampu bersama menghasilkan filem berkualiti tinggi.

“Jadi, K-KOMM akan cuba mewujudkan ekosistem perfileman lebih kondusif dan memberikan galakan secara maksimum,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran lagu tema dan treler filem Seratus di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Komunikasi dan Media, di sini, tengahari tadi.

Tan Sri Annuar berkata sedemikian selepas melihat perkembangan positif menerusi tayangan filem tempatan di pawagam, lebih lagi, filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mampu meraih kutipan hampir RM100 juta.

“Satu perkara agak menggembirakan apabila terdapat tanda positif dan memberangsangkan bagi industri perfileman tempatan.

“Kalau dahulu, kita agak pesimistik dengan filem tempatan dan perubahan perilaku penonton sejak kemunculan pelbagai media alternatif.

“Namun, terbukti pasca pandemik COVID-19, kita dapati rakyat bersedia datang ke pawagam menikmati filem dan karya tempatan,” katanya.

Beliau berkata, ini juga suatu perkara membanggakan dan percaya ia bukan berlaku secara kebetulan.

“Ada sebab, antaranya peningkatan mutu filem sama ada dari segi skrip, lakonan dan pemasaran.

“Bagi fahaman saya, tiga perkara ini sangat penting bagi memajukan sesebuah filem. Skrip, lakonan dan strategi pemasaran yang baik,” katanya.

Justeru, Tan Sri Annuar percaya dengan adanya ketiga-tiga ciri berkenaan, pasti karya tempatan mampu diangkat ke satu tahap lebih baik, namun dengan syarat kerajaan, penerbit, dan semua yang terbabit dalam ekosistem perfileman perlulah membantu antara satu sama lain.

“Atas sebab itu juga K-KOMM mengambil keputusan mewujudkan Majlis Penasihat Perfileman dan Muzik untuk membolehkan saya mendapatkan lebih banyak lagi input agar dapat melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu beliau hadir melancarkan OST dan trailer filem ‘Seratus’ di sini pada Isnin, Annuar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan, untuk mendapatkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi tujuan itu.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply