Merangkul tempat ketiga melalui ciptaan lagu Anta Permana yang dipersembahkan oleh penyanyi Bob Yusof di Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL), Hael Husaini menganggap kejayaan ini merupakan permulaan yang baik untuknya pada awal tahun 2020.
Lagu asal nyanyian penyanyi tersohor kesayangan ramai, Dato’ Seri Siti Nurhaliza telah berjaya dinyanyikan dengan penuh bertenaga oleh bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua kelahiran Sarawak itu.
Mengimbas kembali, detik ketika Dato’ Seri Siti Nurhaliza tampil menyanyi bersama Bob nyata memberi impak yang cukup besar terhadap persembahan lagu terbabit dan berjaya memukau perhatian penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil mahupun yang menonton di rumah.
Hael turut berkongsi persembahan penampilan istimewa Dato’ Seri Siti Nurhaliza di laman Instagram miliknya dengan menulis, “A Magical Nigt to Remember.”
Anta Permana lagu yang dicipta khas oleh Hael Husaini bersama Ezra Kong untuk Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang dirakamkan selepas penyanyi bersuara emas ini melahirkan bayi sulong perempuan, Siti Aafiyah Khalid.
Dengan kejayaan terbaharu ini, semoga Hael Husaini akan terus menyumbang karya hebat dalam memantapkan seni hiburan tanah air.
– THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
Leave a Reply