Saturday, June 22, 2024
HomeBERITAPerdana Menteri mengadakan sidang video bersama ‘frontliners’ Hospital Sungai Buloh

Perdana Menteri mengadakan sidang video bersama ‘frontliners’ Hospital Sungai Buloh

Peranan petugas barisan hadapan yang sanggup mengerah keringat dan menggembeling tenaga menjalankan tugas bagi memerangi wabak COVID-19 tidak dapat disangkal lagi.

Pengorbanan besar para ‘frontliners’ tanpa mengira masa dan tenaga bagi memastikan segala usaha memutuskan rantaian wabak pandemik ini berjalan lancar dan konsisten.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengadakan sidang video bersama para petugas kesihatan Hospital Sungai Buloh, yang diketuai oleh Pengarah hospital berkenaan, Dr Kuldip Kaur a/p Prem Singh.

Turut sama ialah Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Yasmin Mohamed Gani dan tujuh anggota perubatan di pelbagai peringkat yang terlibat dalam memerangi wabak COVID-19 di hospital berkenaan.

Menerusi laman media sosial Facebooknya, Perdana Menteri turut berkongsi perasaan dan penghargaan beliau terhadap wira-wira Malaysia.

“Alhamdulillah. Mereka semua kelihatan ceria, sihat dan bersemangat untuk terus bekerja membasmi penularan COVID-19.

“Mereka semua bersama ribuan petugas di seluruh negara adalah wira negara. Wira yang tak didendang. ‘Unsung heroes’ yang bekerja keras sejak dari awal wabak ini dikesan.

“Pengorbanan mereka cukup besar dan tidak ternilai harganya,” kongsi beliau.

Beliau mewakili pihak kerajaan turut menyatakan penghargaan buat ‘frontliners’ negara.

“Saya bagi pihak kerajaan telah menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang yang ditunjukkan mereka sehingga wabak ini mampu ditangani dengan baik.

“Mereka sanggup mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing, yang tidak pernah mereka tangani sebelum ini,” ujar beliau.

Sementara itu, situasi terkini perkembangan kes COVID-19 di dalam negara telah menunjukkan penurunan sekaligus menampakkan perkembangan positif.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, ini adalah hasil dan peranan para petugas kesihatan serta semua anggota barisan hadapan antaranya, PDRM, ATM, RELA, JPAM dan pelbagai agensi lain termasuk para sukarelawan yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas masing-masing.

“Saya gembira mendengar yang mereka kini sudah ada masa untuk bertemu ahli keluarga.

“Terima kasih kepada semua ahli keluarga mereka kerana memahami dan merestui para ‘frontliners’ bertugas,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bekalan peralatan perlindungan diri (PPE) di hospital kini mencukupi berbanding peringkat awal kes COVID-19 dikesan dahulu.

“Saya sampaikan kepada mereka yang dunia kini mengiktiraf keupayaan negara dalam menangani penularan COVID-19.

“Ini semua adalah kerana peranan yang dimainkan oleh mereka dan semua barisan hadapan dalam menjayakan langkah yang diambil kerajaan.

“Kita adalah antara yang terbaik di dunia! Namun saya ingatkan perjuangan belum berakhir. Masih banyak yang perlu kita lalui.

“Saya mendoakan semoga mereka terus melakukan yang terbaik dalam usaha menamatkan pandemik COVID-19 di negara kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berterima kasih atas pengorbanan yang diberikan dan mengucapkan tahniah buat ‘frontliner’.

“Semoga anda berada di bawah LindunganNya dan dipermudahkan segala urusan,” tambahnya.

Jasamu dikenang!

#COVID19Malaysia
#StayAtHome
#staySafe
#stayHealthy
#BreaktheChain
#StrongerTogether
#KitaMestiMenang

Pagi tadi saya mengadakan sidang video bersama petugas kesihatan dari Hospital Sungai Buloh, yang diketuai oleh…

Dikirim oleh Muhyiddin Yassin pada Senin, 20 April 2020

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments