Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAPenuntut IPT kembali ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac 2021

Penuntut IPT kembali ke kampus secara berfasa bermula 1 Mac 2021

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar tempatan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing bermula 1 Mac 2021.

Dalam satu kenyataan media, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata keputusan tarikh kemasukan pelajar IPT dilakukan setelah Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan cadangan terbabit.

Menurut beliau, bagi pelajar dari zon merah, kemasukan pelajar adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas COVID-19.

“Bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing.

“MKN juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS KECUALI dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021.

“Pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus,” ujar beliau.

Beliau menambah, keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian.

Katanya, keputusan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

Dalam pada itu, pihak kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.

Untuk makluman lanjut para  pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian ; 03-88706777/6949/6623/6124 atau layari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments