Pengarah fotografi maut terkena tembakan aktor Hollywood Alec Baldwin

0

Pengarah fotografi, Halyna Hutchins, 42, maut, manakala pengarah filem, Joel Souza, 48, cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan aktor Hollywood, Alec Baldwin ketika menjalani latihan dalam salah satu babak filem Rust di Santa Fe, Nex Mexico, semalam.

Kejadian berlaku di lokasi perfileman popular, Bonanza Creek Ranch, South Fe pada jam 1.50 petang.

Ia dipercayai berpunca daripada penggunaan pistol dan peluru replika bagi penggambaran filem berlatarbelakangkan abad ke-19 itu.

Kematian Hutchins disahkan wakil Sherif dan The International Cinematographers Guild, Local 600 kepada wakil media.

Portal Santa Fe New Mexican melaporkan, Hutchins diterbangkan ke Hospital Universiti New Mexico dengan helikopter, namun, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terkena tembakan.

Manakala, Souza yang dibawa ke hospital dengan ambulans dirawat di Pusat Perubatan Christus St Vicent, Santa Fe.

Bagaimanapun, menerusi laman Twitter, salah seorang pelakon filem Rush, Frances Fisher memberitahu, Souza sudah pun dibenarkan keluar hospital, beberapa jam lalu.

Baldwin, 68, yang juga penerbit filem berkenaan dilihat menangis di luar pejabat Syerif, namun, media gagal mendapatkan komen daripadanya.

Jurucakap polis, Juan Rios berkata, siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana kejadian boleh berlaku dan jenis peluru digunakan.

“Buat masa ini, tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian ini. Saksi masih disoal siasat polis,” katanya.

Mengikut laporan, Hutchins berasal dari Ukraine dan dibesarkan di pangkalan tentera Soviet di Arctic Circle. Beliau adalah bekas graduan bidang kewartawanan di Kyiv National University, seterusnya ijazah perfileman di Los Angeles.

Menerusi laman Instagram (IG) miliknya, banyak gambar dimuat naik mengenai hasil kerja ketika menjalani penggambaran filem Rust.

Mangsa pernah dinobatkan sebagai bintang baru dalam fotografi perfileman oleh Majalah American Cinematography pada 2019.

Baldwin pula pemenang Anugerah Emmy membintangi banyak filem, drama dan program televisyen. Beliau pernah berlakon menjadi Donald J Trump menerusi Saturday Night Live dengan rambut palsu yang dibuat khas.

Beliau membintangi filem The Hunt For The Red Oktober, The Aviator dan The Departed dan menyumbang suara untuk beberapa animasi termasuk The SpongeBob Squarepants Movie, Madagascar: Escape 2 Africa, Rise of the Guardians dan The Boss Baby.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply