Pembatalan Ordinan Darurat teratur, selaras Perlembagaan – Pejabat PM

0

Semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri maklum seperti yang dizahirkan dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Perdana Menteri pertama kali mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri itu pada 23 Julai lalu.

“Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 2021 menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat itu.

“Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat dibentang di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang, memaklumkan kepada Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara 40 (1) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri dalam menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat itu, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat dan pembatalan Ordinan Darurat diputuskan oleh Jemaah Kabinet secara teliti pada 21 Julai lalu.

Katanya, tiga ketetapan yang diputuskan ketika itu adalah melaksanakan sidang khas Dewan Rakyat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Jemaah Menteri tidak akan menasihati baginda untuk membuat Proklamasi Darurat baharu selepas darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos depan.

“Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati baginda untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

“Susulan ketetapan ini, Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan Jabatan Peguam Negara yang memperuntukkan semua Ordinan Darurat dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri menegaskan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah fakta bagi memaklumkan keadaan sebenar secara telus.

Bagaimanapun, katanya, pemakluman Takiyuddin menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

Oleh itu, katanya, Perdana Menteri dan Peguam Negara sudah memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai lalu pada jam 12 tengah hari untuk menjelaskan kedudukannya.

“Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana Menteri juga menyembah maklum pandangan kerajaan bahawa semua Ordinan Darurat itu tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri sudah pun menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

Pejabat Perdana Menteri berkata, sidang Parlimen yang berlangsung ketika ini adalah Mesyuarat Khas yang diadakan mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3) Dewan Rakyat, yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul mengungkai Ordinan Darurat.

Oleh itu, katanya, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan Ordinan Darurat sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

“Perdana Menteri menekankan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

“Justeru, beliau menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan Insya-Allah isu ini akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c
/themalayapost

Leave a Reply