Pelajar genius perlu bantuan kewangan sambung pengajian ke KGI, USIM

0
Foto Utusan Online

Ini pula berita mengenai seorang pelajar genius dari Kuala Terengganu yang berhasrat menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi.

Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong, berusia 13 tahun dari Kampung Losong Haji Mat Shafie dilaporkan lulus ujian kelayakan yang dikategorikan pintar oleh institusi Kolej Genius Insan, KGI.

Namun kerana dek kekangan kewangan, impiannya untuk meneruskan pengajiannya ke KGI kini seakan samar.

Memetik laporan Utusan Online, bapanya, Mohamad Yong Awang, 61, berkata, anak kelimanya itu ditawarkan mengikuti pengajian Tahap 1 Hamzah di KGI selepas lulus ujian kelayakan yang dikategorikan pintar oleh KGI, USIM.

Namun walaupun dia dan isteri, Rohimah Yusof, 50, berbangga dengan kejayaan Muhammad Mu’az Zhofri tetapi jauh di sudut hati, mereka bimbang tidak mampu melunaskan yuran sebanyak RM1,660 di samping kos-kos lain yang memerlukan bayaran.

Bapa kepada enam anak yang kabur penglihatan dan tidak boleh berjalan akibat sakit dalaman sejak lebih enam tahun lalu itu berkata, jumlah simpanan dimiliki ketika ini hanya kira-kira RM2,000 bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya tiada pendapatan dan isteri cuma mengasuh budak, jadi duit simpanan yang ada tidak mencukupi untuk membayar yuran Mu’az (Muhammad Mu’az Zhofri) kerana dua abang serta adiknya masih bersekolah.

“Walaupun kami serba kekurangan, saya tetap berharap anak saya dapat melanjutkan pengajian ke KGI sekali gus mencapai cita-citanya dan mengubah nasib keluarga,” katanya.

Mohamad Yong yang merupakan bekas guru mengaji al-Quran berkata, kejayaan Muhammad Mu’az Zhofri muncul pelajar pintar itu merupakan yang pertama dalam sejarah keluarganya, malah dia difahamkan anaknya turut meraih markah tertinggi untuk hafazan dalam ujian kelayakan ke KGI.

Katanya, di sebalik keuzurannya tetapi dia tidak pernah mengabaikan aktiviti membaca al-Quran bersama-sama enam anak setiap kali selepas solat Maghrib dan berkemungkinan amalan itu yang menggilap potensi Muhammad Mu’az Zhofri.

Sementara itu Muhammad Mu’az Zhofri berkata, beberapa persediaan untuk ke KGI sudah dilakukan dengan dia diminta menghafal juzuk 30, 29 dan 28.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamad Yong di talian 019-9039292 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam (Rohimah) 13-017-02-864675-5.

Leave a Reply