Thursday, June 20, 2024
HomeBERITAMPT BERSATU sokong dan beri mandat penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin...

MPT BERSATU sokong dan beri mandat penuh kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM ke-8

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyokong dan memberi mandat penuh terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 setelah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara.

MPT juga mengesahkan keputusan BERSATU keluar dari Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan pada mesyuarat MPT bertarikh 23 Februari 2020 dan pengumuman rasmi yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari lalu adalah sah dan teratur.

Setiausaha Agung, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan berkata pihak parti telah mengeluarkan satu kenyataan berkenaan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang telah dipengerusikan oleh Presiden merangkap Pemangku Pengerusi BERSATU YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin (4 Jun).

“Mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) itu telah berjalan dengan lancar dan penuh tertib dan MPT turut mengiktiraf tugas yang digalas YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi yang sah.

“Ianya selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, setelah peletakan jawatan YB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi BERSATU pada 24 Februari 2020.

“Berkenaan status pelantikan Setiausaha Agung (SUA) BERSATU, MPT mengesahkan bahawa YB Senator Datuk Wira Marzuki Yahya telah diberhentikan sebagai SUA melalui surat pemberhentian yang bertarikh 18 Mac 2020 dan pelantikan beliau sebagai SUA yang baru pada 26 Mac 2020 adalah sah dan teratur mengikut perlembagaan parti,” ujar beliau.

Beliau menambah, mesyuarat MPT juga mengesahkan keahlian Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dato’ Wira Amiruddin Hamzah dan YB Dr. Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan BERSATU dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad.

“MPT turut mengesahkan bahawa Kepten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja BERSATU yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja adalah terpakai secara rasmi.

“MPT juga mengesahkan bahawa keputusan memuktamadkan penyertaan BERSATU dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan ‘Perikatan Nasional’ yang dipimpin BERSATU adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti,” katanya.

Dalam pada itu, MPT turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi BERSATU, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, mantan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti.

“Dengan pengesahan dan ketetapan yang telah diambil pada mesyuarat MPT kelmarin, ahli dan pimpinan akar umbi diseru untuk kekal istiqamah bersama parti demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air,” tambahnya.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments