Mesyuarat Raja-raja Melayu petang ini curi tumpuan umum

0

Pastinya tumpuan seluruh negara hari ini tidak kira tua muda, kaya mahupun miskin terarah kepada Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja yang dijadualkan berlangsung di Istana Negara, jam 2.30 petang ini.

Agenda perbincangan terarah kepada perlantikan seorang Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri.

Ia selaras Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan, susulan peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas.

Manakala Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH), tidak menerima panggilan menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana hanya yang mempunyai sokongan majoriti sahaja dipanggil menghadap.

Ketika sesi menghadap semalam, Yang di-Pertuan Agong mendengar sendiri Ahli Parlimen yang secara bergilir-gilir menyembah maklum secara lisan sokongan mereka kepada calon perdana menteri.

Setiap Ahli Parlimen juga mengesahkan akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani mereka dengan menamakan seorang calon perdana menteri yang dititahkan dihantar kepada Istana Negara kelmarin.

Selain majlis menghadap secara fizikal di Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong juga berkenan menerima menghadap secara maya daripada beberapa Ahli Parlimen yang tidak dapat hadir kerana isu kesihatan dan menjalani kuarantin kerana baharu pulang dari luar negara atas urusan rasmi Kementerian.

Ia termasuk ahli-ahli parlimen daripada GPS yang berada di Kuching, Sarawak.–THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply