Cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia bersembunyi di dalam almari dan tandas bagi mengelak dicekup gagal apabila mereka ditahan dalam satu operasi khas malam tadi.
Operasi selama 7 jam itu membabitkan sekumpulan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor.
Seramai 27 pati termasuk tiga kanak-kanak ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tinggal di negara ini melebihi tempoh dan pas lawatan tamat tempoh.

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi dalam kenyataannya memberitahu operasi berkenaan menggempur kediaman dan rumah kongsi dipercayai didiami warga asing berkenaan.
“Ketika serbuan dilakukan, ada diantara mereka bersembunyi di sebalik pintu tandas dan dalam almari pakaian. Namun kesemua mereka berjaya dikesan.
“Pemeriksaan mendapati semua warga asing yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama iaitu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Syukri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pemilik rumah sewa dan pelindung kepada pati ini.
“Sekiranya terbukti, mereka juga turut dikenakan tindakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa termasuk didakwa di mahkamah.
“Dalam operasi ini semua pegawai dan anggota operasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan untuk mengelak jangkitan virus Covid-19 ketika melakukan pemeriksaan,” katanya.
Semua warga asing yang ditahan kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di depot tahanan.
“Semua mereka ditahan reman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 di Depot Imigresen Semenyih,” katanya.
Dalam pada itu, JIM menasihatkan warga asing yang tiada kebenaran sah tinggal di negara ini agar segera menyertai program rekalibrasi pati yang sedang berlangsung sehingga akhir tahun ini.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply