Malaysia sokong deklarasi Bucharest berkaitan ‘Pembinaan masa depan digital yang lebih baik untuk semua’

0

BUCHAREST, 25 September – Malaysia secara prinsipnya menyokong deklarasi berkaitan ‘Pembinaan masa depan digital yang lebih baik untuk semua’.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata deklarasi itu selari dengan komitmen kesalinghubungan universal dan transformasi digital.

Apa yang penting bagi Malaysia katanya adalah mempercepatkan penggunaan rangkaian yang mantap dan menyediakan negara bagi peralihan ekonomi digital.

“Malaysia berpandangan kesalinghubungan universal dan transformasi digital yang mampan melangkaui pelaksanaan infrastruktur dan teknologi. Malaysia komited bekerjasama untuk merealisasi lima komitmen dan 10 prinsip utama digariskan Deklarasi Bucharest ke arah membina masa depan digital yang lebih baik untuk semua, Insya-Allah,” kata beliau ketika berucap pada Sesi Meja Bulat Peringkat Menteri Deklarasi Bucharest sempena Persidangan Plenipotentiary.

Tan Sri Annuar turut berkongsi usaha pendigitalan negara melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MYDIGITAL) dan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang meletakkan komunikasi sebagai utiliti ketiga selepas air dan elektrik.

Selain itu, Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) turut diperkenal bertujuan meningkatkan akses pendigitalan melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Oleh itu, sebahagian besar transformasi digital di Malaysia membabitkan penggunaan e-dagang dan digitalisasi yang aktif oleh PMKS kita. Ekonomi digital adalah komponen utama kekuatan ekonomi Malaysia,” katanya.

Ketika ini, ekonomi digital menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka mencecah 25.5 peratus menjelang tahun 2025.

Sumber foto FB Tan Sri Annuar Musa

Tan Sri Annuar berkata bagi memacu sumbangan ekonomi digital, kerajaan telah memperkenal Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang (NESR) 2.0 untuk memudah peluang digital rentas sempadan yang mengutamakan penglibatan perniagaan tempatan dan PMKS dalam e-Dagang yang menyasarkan 875,000 PMKS yang menggunakan e-Dagang menjelang 2025.

Terdahulu beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Romania yang telah merangka Deklarasi Bucharest yang membawa tema “Ke Arah Membina Masa Depan Digital Lebih Baik Untuk Semua”.–THE  MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply