Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMalaysia, Singapura umum buka sempadan awal bulan depan

Malaysia, Singapura umum buka sempadan awal bulan depan

Wisma Putra mengesahkan rundingan kerajaan Malaysia dengan kerajaan negara yang dikategorikan zon hijau COVID-19 bagi melaksanakan pergerakan rentas sempadan masih berjalan.

Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein menjelaskan rundingan ini akan dilaksanakan khususnya dengan enam negara zon hijau COVID-19 yang telah dikenalpasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) antaranya Singapura, Brunei, New Zealand, Jepun, Australia dan Korea Selatan.

Menyentuh rundingan Malaysia – Singapura, pembukaan sempadan kedua-dua negara untuk meliputi empat kategori iaitu :

1. Reciprocal Green Lane (RGL) atau Laluan Hijau Timbal Balik untuk urusan perniagaan penting (essential business) serta urusan rasmi melibatkan kedua-dua negara.

2. Periodic Commuting Arrangement (PCA) atau Pengaturan Ulang Alik Berkala untuk membolehkan rakyat Malaysia dan Singapura yang merupakan pemegang pas imigresen jangka panjang (untuk tujuan perniagaan dan bekerja) pulang secara berkala ke negara masing-masing bagi tujuan cuti pendek.

3. Rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang alik setiap hari atas urusan kerja.

4. Pembukaan sempadan sepenuhnya.

Rundingan bagi dua kategori pertama positif dan keputusan dijangka akan diumumkan bersama oleh kedua-dua kerajaan awal bulan depan.

Menerusi perbincangan ini, Malaysia konsisten menekankan kepentingan untuk kedua-dua negara mencapai kesepakatan khususnya dari sudut Standard Operating Procedure (SOP) dan protokol kesihatan awam COVID-19 bagi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat kedua-dua negara yang terlibat dalam pergerakan rentas sempadan ini.

Beliau turut menekankan rundingan dengan negara-negara zon hijau COVID-19 yang lain juga mengenai pembukaan sempadan bersyarat kepada beberapa kategori pengecualian,
dengan contoh :

1. Urusan perniagaan penting.

2. Pelajar antarabangsa yang mahu meneruskan pengajian.

3. Kemasukan bekalan makanan dari dan ke negara-negara jiran di Asia Tenggara.

“Segala keputusan mengenai perkara ini hanya akan dimuktamadkan setelah mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan PKP dan juga Mesyuarat Jemaah Menteri.

“Sesungguhnya, pelaksanaan pembukaan sempadan ini bukanlah satu perkara mudah.

“Ia memerlukan penelitian dan persediaan rapi serta kesefahaman antara Malaysia dengan negara-negara terlibat,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata perbincangan mengambil masa sebelum ia boleh dimuktamadkan.

Apabila pergerakan rentas sempadan ini dibolehkan, Wisma Putra akan berusaha memastikan ianya memanfaatkan kedua-dua negara dan pada masa yang sama tidak mengganggu usaha memerangi pandemik COVID-19.

– THE MALAYA POST

*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments