Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAMalaysia, Mesir perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

Malaysia, Mesir perkukuh kerjasama pendidikan tinggi

Kaherah, 21 Disember – Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Tinggi dan Kajian Saintifik Mesir, Dr. Mohamed Ayman Ashour, di sela Sidang Kemuncak D-8.

Pertemuan selama lebih satu jam itu memfokuskan kepada pengukuhan hubungan dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara, termasuk pelaksanaan kursus intensif bahasa Arab, kerjasama penyelidikan, dan pengiktirafan kursus antarabangsa.

Pertemuan ini susulan komitmen yang dicapai dalam Lawatan Rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Mesir pada November lalu. Usaha ini turut melibatkan perbincangan dengan TYT Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, yang menyokong pelaksanaan kursus intensif bahasa Arab di Malaysia.

Dr. Zambry menjelaskan bahawa kursus bahasa Arab ini akan diadakan di Institut Bahasa Arab Al-Azhar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kursus ini bertujuan meningkatkan kemahiran pelajar sebelum mereka melanjutkan pengajian ke Mesir. “Proses kelulusan sedang dijalankan dan kami berharap kursus ini dapat dimulakan pada awal tahun hadapan,” katanya.

Selain itu, perbincangan turut melibatkan kerjasama penyelidikan dalam bidang strategik antara Malaysia dan Mesir.

“Pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara akan memberi nilai tambah dalam sektor pendidikan dan penyelidikan,” tambah beliau.

Menteri Mesir turut menekankan kepentingan mobiliti pelajar antarabangsa dengan sasaran seramai 200,000 pelajar menjelang 2030.

Pada masa ini, lebih 5,000 pelajar Malaysia sedang menuntut di pelbagai universiti di Mesir, termasuk Universiti Al-Azhar.

Kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Mesir. Penubuhan Jawatankuasa Kerja Bersama (Joint Working Committee) yang dirancang akan membuka peluang baharu dalam penyelarasan kursus dan pertukaran pelajar.

Tambahan pula, usaha mempercepatkan pengiktirafan kursus melalui kolaborasi antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan The National Authority for Quality Assurance and Accreditation of Education (NAQAAE) Mesir dijangka memberi manfaat besar kepada pelajar kedua-dua negara.

Tambah Dr Zambry, langkah memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Mesir mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk membangunkan sektor pendidikan secara holistik.

“Kita yakin bahawa hubungan erat ini bukan sahaja akan meningkatkan peluang pendidikan bagi pelajar, tetapi juga mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir.”

Usaha ini menandakan satu lagi langkah ke arah merealisasikan wawasan Malaysia Madani di pentas global.–THE MALAYA POST

*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments