Saturday, May 25, 2024
HomeBERITAMadu Nurul Zahid meninggal dunia

Madu Nurul Zahid meninggal dunia

“Saya kehilangan seorang kakak yang juga wanita yang hebat. Saya amat menghargai kejujurannya menerima saya sebagai madu dalam kehidupannya.”

Itulah luahan Datuk Nurul Hidayah diatas pemergian madunya, Datin Bahazanariah Binti Baharudin pada jam 4.16 pagi tadi.

Pemergian Bahazanariah atau lebih mesra disapa Kak Nana oleh Nurulhidayah merentap seluruh kekuatan yang ada dalam diri anak kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

Arwah yang berusia 50 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.16 pagi ini di Hospital KPJ Damansara akibat kanser payu dara tahap empat sejak Ogos lalu.

Beliau menutup usia semasa dalam tidur dan disedari oleh suaminya, Dato Saiful Nizam Bin Mohd Yusoff.

 

Nurulhidayah dalam tangisan yang sukar dikawal bercerita bagaimana Allahyarham Bahazanariah bersungguh-sungguh yang memintanya berkahwin dengan suami mereka, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

“Arwah yang beriya-iya minta saya menikahi suaminya kerana beliau mahu memberikan sepenuh perhatian pada kesihatannya sebaik disahkan mengidap kanser payu dara”, katanya.

Menurut Nurulhidayah lagi, beliau dan Saiful Nizam bergilir-gilir menjaga Bahazanariah semasa Allahyarham menerima rawatan di hospital.

“Arwah Kak Nana seorang yang sangat positif. Sekalipun dalam kesakitan, beliau sentiasa tabah menerima dugaan daripada Allah, tidak pernah sekalipun Allahyarham mengeluh, bahkan sentiasa mengingatkan diri agar bersabar. Inilah keperibadian yang akan saya rindui,” kata Nurulhidayah.

Hubungan kedua-dua wanita itu diketahui amat akrab dan sering dilihat bersama-sama dalam pelbagai acara selain sering memuat naik pelbagai foto mereka bersama dalam akaun Instagram peribadinya. Malahan, arwahlah yang selalu memberi kata-kata semangat dan sentiasa berada disisi tatkala dia memerlukan.

Mengimbau kembali beberapa wawancara sebelum ini, beliau dan madunya itu sentiasa mengamalkan sikap diplomasi dan saling memahami antara satu sama lain. Bahkan, kedua-dua wanita itu juga bertuah kerana suami mereka, Saiful Nizam memainkan peranan yang bijaksana dalam memimpin rumah tangga mereka.

“Saya tidak tahu bagaimana lagi mahu gambarkan kehebatan arwah.

“Terima kasih kak Nana kerana menerima saya dalam hidup kakak. Pengorbanan, kebaikan dan kasih sayang kakak akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya.

“Terima kasih Kak Nana atas segala-galanya. Saya akan bawa kebaikan dan kasih sayang kakak sehingga ke liang lahad,” ujarnya.

Menerusi Instagram peribadinya, beliau memohon agar arwah disedekahkan Al-Fatihah dan memohon diampunkan segala salah silap sepanjang kehidupannya.

Jenazah Allahyarham Bahazanariah kini berada di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara sekitar pukul 10 pagi.

“Semoga kakak saya ditempatkan dikalangan para solehin. Saya akan merinduinya. Sesungguhnya, Allah lebih menyayanginya,” kongsi beliau.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments