Saturday, May 18, 2024
HomeBERITAKPT sasar lahirkan graduan holistik berciri keusahawanan dan seimbang

KPT sasar lahirkan graduan holistik berciri keusahawanan dan seimbang

Kesungguhan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membangunkan sektor keusahawanan di kalangan pelajar diterjemahkan melalui Lonjakan Satu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bagi Pendidikan Tinggi 2015 – 2025, dengan objektif untuk melahirkan graduan yang holistik berciri keusahawanan dan seimbang.

Selaras dengan itu, KPT akan memasukkan elemen keusahawan dalam falsafah pendididikan negara dan Pelan Tindakan Keusahawanan, Institusi Pengajian Tinggi telah dibangunkan sebagai panduan induk kepada Institut Pengajian Tinggi memperkukuh pelaksanaan agenda keusahawanan masing-masing.

“Seramai 49,983 orang pelajar telah menjalankan perniagaan dalam tempoh pengajian.

“Manakala 7,148 orang graduan masih meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas tamat pengajian.

”KPT juga sedang memuktamadkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 – 2025 dan diperkukuhkan lagi oleh MOHE Guide To Entrepreneurship Integrated Education (EIE), sebagai guiding principle pembentukan ekosistem keusahawanan di Insititut Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih menyeluruh,” ujar Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Pelan Tindakan Keusahawanan, Institusi Pengajian Tinggi telah dibangunkan sebagai panduan induk kepada IPT untuk memperkukuh pelaksanaan agenda keusahawanan masing-masing.

Berucap lanjut, beliau juga menyatakan KPT akan meneruskan bantuan pendidikan ‘My Brain’.

Mengulas lanjut, beliau berkata program ini telah menunjukkan impak positif yang menyumbang kepada kebolehpasaran graduan, peningkatan kerjaya dan peningkatan pendapatan serta taraf hidup.

“KPT telah mengemukakan cadangan bagi meneruskan pelaksanaan program MyBrain15 ini kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“KPT berhasrat menjadikan program ini sebagai satu daripada program berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bermula tahun 2021 hingga 2025,” kata beliau.

Untuk rekod program berkenaan telah berjaya menaja seramai 56,910 orang pelajar bagi mengikuti program di peringkat pascasiswazah dan sehingga September lalu, seramai 30,427 pelajar tajaan MyBrain15 telah berjaya menamatkan pengajian.

Menteri Pengajian Tinggi turut memberitahu kerajaan telah bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama dan perkhidmatan atau aktiviti pada kadar minima 15 peratus.

Malah terdapat sesetengah Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti mengurangkan kadar sehingga 100 peratus melibatkan peruntukan sebanyak RM72 juta dan langkah yang sama juga telah diteruskan bagi pengajian semester satu sesi tahun ini dan tahun hadapan.

Untuk rekod, pelajar di Universiti Awam (UA) hanya membayar dua hingga sepuluh peratus daripada kos sebenar yuran pengajian. Baki sebanyak 90 hingga 98 peratus dibiayai melalui subsidi Kerajaan.

Dalam sesi ucapan penggulungan terbabit, Menteri Pengajian Tinggi juga memberitahu kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM41.2 juta bagi bantuan khususnya kepada pelajar B40 antaranya,

bantuan sumbangan pelan data dengan peruntukan berjumlah RM24 juta kepada 320,396 pelajar UA. Seramai 225,784 pelajar menerima bantuan simkad dan 94,612 pelajar menerima bantuan berbentuk tunai bagi pembelian pelan data.

“Bantuan pemilikan peranti dengan peruntukan RM13.4 juta. Bantuan ini dapat memberi manfaat kepada 8,965 pelajar UA.

“Bantuan tunai sebanyak RM50 seorang secara one-off kepada 76,153 pelajar baharu bagi Sesi Akademik 2020/2021. Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta.

“Dalam masa yang sama, pihak kementerian juga sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk menyediakan bantuan-bantuan lain untuk manfaat semua pelajar IPT termasuk pelajar IPTS,” ulas beliau menjawab persoalan ahli Dewan Rakyat tentang bantuan kepada pelajar yang mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian (online) ke arah pebih kondusif.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), KPT turut melancarkan inisiatif ‘crowdfunding’ melalui Tabung Prihatin Siswa.

“Inisiatif ini bertujuan untuk mengajak pihak luar sama-sama menyalurkan sumbangan bagi membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan sesi PdP mereka.

“Dalam jangka masa sederhana pula, pihak kementerian akan meningkatkan kapasiti jalur lebar di IPTA dengan memperkasakan Malaysian Research & Education Network (MYREN) kepada antara 500mbps hingga 10gbps dengan peruntukan sebanyak RM50 juta,” tambahnya.

Berkaitan dengan pengurangan peruntukan UiTM, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memberitahu pengurangan peruntukan pada tahun ini sebanyak RM4 juta.

Secara keseluruhannya, peruntukan untuk UiTM (tidak termasuk HUiTM) pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.737 billion, manakala peruntukan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM1.733 billion, iaitu pengurangan hanya sebanyak RM3 juta atau 0.18 peratus sahaja.

Meneruskan ucapan, beliau memberitahu menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu usahawan Bumiputera dan pengusaha Kolej Latihan Bumiputera termasuk IPTS yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Sejumlah RM50 juta daripada peruntukan PENJANA telah disalurkan kepada IPT untuk melaksanakan program Career Advancement Programme atau KPT-CAP khusus kepada pelajar-pelajar IPTS.

“Dalam Bajet 2021, Kerajaan turut memperuntukkan RM150 juta untuk merealisasikan inisiatif KPT-PACE (Professional Certification).

“Inisiatif ini menawarkan baucar bernilai RM3,000 kepada pelajar di IPTA dan IPTS yang berhasrat untuk mendapatkan sijil profesional dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Menerima saranan Ahli Parlimen Cameron Highland supaya masyarakat Orang Asli diberikan bantuan atau biasiswa penuh untuk menyambung pengajian di IPT, atas dasar komited dan keprihatinan, kerajaan juga bersetuju memberi bantuan penuh dalam menyediakan pelbagai sumber pembiayaan kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan termasuk pelajar Orang Asli melalui biasiswa, pinjaman pelajaran serta bantuan kewangan sedia ada.

Malah, bagi meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat Orang Asli, KPT telah mewujudkan mod kemasukan secara laluan khas untuk pelajar Orang Asli bagi lepasan SPM dan STPM atau setaraf.

“Pada Sesi Akademik tahun ini dan tahun 2021, seramai 304 calon pelajar Orang Asli telah memohon untuk melanjutkan pengajian melalui UPUOnline, dan dari jumlah tersebut seramai 273 calon atau 90 peratus telah ditawarkan tempat ke IPTA dan institut latihan kemahiran awam (ILKA),” ucap beliau.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments