KPT mendakap amanah memperkukuh pelaksanaan agenda keusahawanan di institut pengajian tinggi

0

Kebanyakan usahawan adalah golongan mereka yang dibentuk dan berasaskan prinsip itu Kementerian Pengajian Tinggi akan mewujudkan Falsafah Pendidikan Tinggi Negara dengan cadangan untuk memasukkan elemen keusahawanan.

Sehubungan itu Pelan Tindakan Keusahawanan, Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2021 – 2025 telah dibangunkan sebagai panduan induk kepada IPT untuk memperkukuh pelaksanaan agenda keusahawanan masing-masing.

Pelan tindakan ini diperkukuhkan lagi dengan MOHE Guide to Enterpreneurship Integrated Education (EIE) atau Panduan Untuk Pendidikan Bersepadu Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi sebagai panduan prinsip pembentukan ekosistem keusahawanan di IPT.

Ini juga selaras dengan penegasan baharu KPT yang diterajui oleh Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam mendepani espektasi sektor pendidikan tinggi serta ledakan kemajuan teknologi  Internet of Things (IoT).

Datuk Seri Dr. Noraini menegaskan bahawa amanah ini akan dilaksanakan dengan merencanakan pelbagai strategi untuk disesuaikan dengan keperluan semasa terutama dalam program berimpak tinggi termasuk penyertaan aktif dalam penggubalan dasar di peringkat nasional.

Keusahawanan dan kebolehpasaran Graduan Rancangan Malaysia Ke-12 merupakan salah satu platform yang dirangka dan sentiasa diberi penekanan dalam memastikan keberhasilan dan kemenjadian pelajar di IPT.

Agenda ini akan terus diperkasa dan diberi wajah dengan pengisian baharu yang lebih segar agar dapat melahirkan usahawan graduan yang berdaya maju serta memiliki ketahanan minda dalam mengharungi dunia kerjaya yang semakin mencabar.

Inisiatif-inisiatif utama dalam menyemarakkan agenda ini termasuk membangunkan pelan tindakan keusahawanan 2021 – 2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di IPT.

Di samping menggalakkan IPT menyemak semula kurikulum dan program akademik di IPT supaya dimensi keusahawanan dapat terus diarusperdanakan serta penambahbaikan fasiliti keusahawanan dalam mewujudkan ekosistem yang memangkinkan daya keusahawanan dalam kalangan pelajar IPT.

Universiti Kelantan Malaysia (UMK) telah diberi kepercayaan untuk menerajui jawatankuasa khas pembangunan EIE.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr. Noor Azizi Ismail memberitahu The Malaya Post bahawa EIE berharap akan menjadi mikrocip yang dapat ditanam di dalam setiap pelajar terutama dalam membentuk ciri-ciri  peribadi usahawan yang menyumbang kepada kesediaan mereka untuk berinovasi, tekad, dan berjaya.

Tegasnya, Individu yang mempunyai tahap keberkesanan diri yang tinggi serta percaya bahawa mereka mampu mencapai sesuatu tujuan.

“Mereka optimis, mempunyai kawalan dalaman dan kestabilan emosi, berkeyakinan untuk mencapai kejayaan dan lebih banyak kejayaan selain ciri usahawan yang sentiasa mencari peluang baru atau memanfaatkan perkara biasa dengan kaedah baru,” katanya ketika dihubungi The Malaya Post.

Jelasnya, panduan ini akan menjawab persoalan bagaimana pendidikan keusahawanan diterapkan dalam kurikulum akademik.

Sementara Dekan Fakulti Keusahawanan Prof. Dr. Roselina Ahmad Saufi memberitahu EIE merupakan panduan yang disediakan untuk memacu perubahan ekosistem dan landskap pendidikan keusahawanan di IPT seluruh Malaysia yang lebih berintegrasi dan relevan ke arah industri keusahawanan masa sekarang dan hadapan.

“Buku ini memaparkan amalan-amalan terbaik dalam pendidikan keusahawanan, kemahiran dan ilmu keusahawanan yang diperlukan oleh pelajar, pendekatan pembelajaran keusahawanan, kaedah pengukuran serta aspek tadbir urus yang dianggap melengkapi bagi mewujudkan satu ekosistem dan landskap pendidikan keusahawanan yang padu,’’ katanya kepada The Malaya Post.

Tambah beliau, EIE juga menggariskan perbezaan penekanan pendidikan keusahawanan terhadap tiga kumpulan pelajar yang berbeza iaitu dari program keusahawanan, program berkaitan perniagaan, dan program selain dari keusahawanan dan perniagaan.

“EIE akan menjadi sebuah buku garis panduan bagi institusi pengajian tinggi dalam usaha menerapkan pengetahuan keusahawanan yang lengkap ke dalam kurikulum pendidikan tinggi di Malaysia.

“Ia selari dengan aspirasi sistem pendidikan negara untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja holistik dan seimbang malah berciri keusahawanan seterusnya meletakkan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Keusahawanan’ tulen menjelang 2030,’’ tegas beliau.

Dr. Roselina memberitahu satu bengkel mengenai EIE pada 12 September lepas telah diadakan melibatkan Timbalan Naib Canselor Akademik, Pengarah Pusat Keusahawanan, Pengarah Pusat Kecemerlangan Akademik dan Pengarah Pusat Mahasiswa dan Inovasi dari Universiti Awam seluruh Malaysia.

Katanya  bengkel itu diadakan untuk memberi kefahaman serta mendapatkan maklumbalas berkaitan kandungan buku EIE dan kesesuaiannya untuk digunakan oleh institusi awam dalam menyemak dan membangunkan pendidikan keusahawanan dan bagaimana penerapan boleh dibuat dalam struktur kurikulum akademik yang pelbagai bidang.

Jelasnya, inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan melalui Buku EIE dalam usaha memartabatkan agenda keusahawanan siswa dan mentransformasi program akademik seterusnya meningkatkan kebolehpasaran  graduan melalui aktiviti keusahawanan. –THE MALAYA POST

Penulis adalah bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan wartawan Utusan Malaysia.

Hata Wahari / Penulis

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply