KOTA DAMANSARA, 24 Jun 2025 — Klinik Kesihatan Kota Damansara kini tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat selari dengan pertumbuhan pesat populasi di kawasan ini.
Selepas hampir 13 tahun beroperasi, kemudahan kesihatan itu berdepan masalah kesesakan melampau, ruang terhad serta tempoh menunggu yang panjang, satu tekanan nyata kepada pesakit dan petugas kesihatan.
Klinik berkenaan dibangunkan hasil inisiatif bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Halimaton Saadiah Bohan, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh, bagi menyediakan akses rawatan asas kepada komuniti setempat ketika jumlah penduduk masih rendah.
“Semasa saya menjadi ADUN kira-kira 13 tahun lalu, saya mencadangkan kepada kerajaan untuk membeli lot kedai ini bagi dijadikan Klinik Kesihatan. Ketika itu, jumlah penduduk belum ramai dan fasiliti sedia ada mencukupi.
Namun kini, dengan pertambahan penduduk yang ketara akibat pembangunan pesat di Kota Damansara, Sungai Buloh dan kawasan sekitarnya, sudah tiba masanya sebuah klinik kesihatan baharu dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh tahun 2025, di mana beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kesan langsung yang dihadapi rakyat.
“Kini saya lihat sendiri, pesakit terpaksa menunggu hingga tiga ke empat jam hanya untuk rawatan asas. Ruang menunggu sesak seawal pagi, manakala petugas kesihatan pula terpaksa bekerja dalam tekanan tinggi kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai,” ujarnya.
Beliau mencadangkan agar sebuah klinik kesihatan baharu yang lebih luas, moden dan lengkap dibina sebagai penyelesaian jangka panjang yang mampan.
“Cadangan ini bukan sekadar retorik politik, tetapi berdasarkan keperluan nyata yang disokong oleh data dan pemerhatian di lapangan. Kesihatan rakyat adalah hak asasi, bukan satu kemewahan. Kesejahteraan rakyat tidak boleh ditangguh. Pembinaan klinik baharu ini merupakan pelaburan penting demi masa depan komuniti yang sihat dan produktif” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan negeri dan Persekutuan mengambil tindakan segera terhadap isu ini.
“Rakyat sedang menunggu. Klinik semakin sesak. Masa untuk bertindak ialah sekarang,” katanya dengan nada tegas.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Selangor menegaskan komitmen Wanita UMNO untuk terus menjuarai isu-isu rakyat serta berperanan sebagai suara semak dan imbang kepada kerajaan demi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.

Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Sungai Buloh Tahun 2025 yang berlangsung di Kota Damansara pada Ahad lalu telah disempurnakan oleh Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Hadir sama, Ketua Bahagian Sungai Buloh, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Sungai Buloh.
Turut hadir, barisan Exco Wanita UMNO Malaysia, Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian dari seluruh Selangor, termasuk kepimpinan tempatan serta para perwakilan.— THE MALAYA POST
*Subscribe Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply