Kompleks Seri Perdana akan rosak lebih teruk jika tidak dibaikpulih – Muhyiddin Yassin

0

Keputusan membaik pulih kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana di Putrajaya dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi Ketua Kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

Menurut bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat.

Demikian penjelasan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan status projek baikpulih Seri Perdana yang diluluskan semasa pentadbiran beliau berjumlah RM38.5 juta.

Tan Sri Muhyiddin menjelaskan, bagi memastikan proses baik pulih dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan dengan hasil yang berkualiti, kerja baik pulih dipantau oleh Pasukan Petugas yang dianggotai pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya percaya JKR dan JPM yang terbabit secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek terbabit.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh kerajaan, jabatan berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu The Malaya Post melaporkan kerajaan mengesahkan Kompleks Seri Perdana yang telah mencecah 22 tahun, telah mengalami banyak kerosakan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad dalam jawapan bertulisnya di dewan rakyat, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melakukan kerja-kerja baik pulih dengan kos keseluruhan mencakupi RM38.5 juta.

Bagaimanapun, pembangkang mempersoalkan projek berkenaan yang didakwa dilakukan ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Foto Facebook Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin berkata, ketika mula menjawat jawatan itu pada Mac tahun lalu, beliau menerima laporan daripada JPM berhubung kerosakan fizikal Seri Perdana.

Beliau berkata, kerosakan itu membabitkan kebocoran, sistem pencahayaan yang sudah lama dan keadaan fizikal lantai serta bumbung yang sudah rosak atau usang.

Jelas beliau lagi, kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem paip menyebabkan kerosakan perabot ‘built-in’, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti pendingin hawa perlu dibaik pulih kerana sudah terlalu usang dan menurut pakar, sistem pendawaian berusia lebih 20 tahun boleh menyebabkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

“Berdasarkan laporan yang saya terima (ketika itu), JPM juga mengesyorkan supaya perolehan perabot dibuat kerana aset perabot yang didakwa milik peribadi bekas perdana menteri keenam sudah dipindah keluar.

“Oleh kerana bangunan itu mengalami kerosakan fizikal yang teruk selain sistem pendawaian dan mekanikal yang usang, sebahagian besar daripada kos membaik pulih membabitkan kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal.

“Saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi,” katanya.–THE MALAYA POST

Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply