Ini pula berita baik untuk pelajar dan keluarga Malaysia.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan dua pakej baharu untuk membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses Internet dan peranti pintar mampu milik buat semua terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pakej baharu itu merangkumi Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang pakej khusus untuk golongan remaja dan pelajar berumur 21 tahun ke bawah memperoleh 20 gigabait (GB) untuk tiga bulan pada kadar RM10 sebulan.
Katanya pihaknya turut memberikan data percuma 1GB sehari yang berjumlah 90GB untuk tiga bulan itu buat aktiviti produktiviti setiap hari serta Internet asas tanpa had.
“Bagi data 20 GB pula, ia boleh digunakan untuk aktiviti seperti penurunan video atau permainan dalam talian yang dapat membantu pengguna merehatkan diri dengan kebolehan untuk hiburan.
“Remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, KKMM turut menyediakan Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang membolehkan rakyat memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan VoLTE secara percuma.
Katanya, peranti itu dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan.
“Pakej ini termasuk 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti. Setiap pengguna yang layak boleh melanggan sehingga dua pakej dengan mendaftar kad pengenalan yang sama.
“Adalah diharapkan agar lebih ramai ahli keluarga mendapat manfaat sempurna daripada pemilikan peranti mudah alih 4G dan VoLTE untuk melengkapkan pengalaman Internet mereka,” katanya.
Tempoh mendaftar untuk kedua-dua pakej itu mulai 15 Oktober 2021 hingga 15 April 2022 selama enam bulan.
“Kerajaan yakin dengan kedua-dua pakej ini, Keluarga Malaysia bukan sahaja akan menikmati kesalinghubungan yang lebih baik bahkan juga harga yang mampu milik dan tahap penyampaian yang lebih berkualiti,” katanya.–THE MALAYA POST
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara
htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply