Kurma amat sinonim dengan bulan Ramadan yang lazimnya menjadi pilihan ketika berbuka puasa.
Namun, hakikatnya kurma ini baik untuk diamalkan setiap hari dan bukan hanya di bulan Ramadan sahaja.
Tahukah anda, kalau makan kurma 3 biji sehari dalam seminggu pun anda sudah boleh nampak kesannya?
Memetik info di laman sosial Kementerian Kesihatan Malaysia, air rendaman kurma atau dikenali sebagai air nabeez juga baik untuk kesihatan dan boleh dijadikan amalan harian.
Yang pasti kurma kaya dengan nutrisi yang baik untuk tubuh anda, malah ia mengandungi lebih banyak kalori dan karbohidrat.
1. Sumber serat untuk melancarkan pencernaan
Kurma merupakan sumber serat yang baik untuk tubuh kita terutama bagi saluran pencernaan dan mencegah masalah sembelit. Kajian mendapati, individu yang makan tujuh biji kurma setiap hari akan membuang air besar secara teratur.
2. Mengawal gula dalam darah
Kurma mempunyai rasa manis dengan kandungan fruktosa yang baik untuk tubuh. Fruktosa merupakan jenis gula semula jadi pada buah.
Kandungan gula itu serta serat yang tinggi dalam kurma sangat bermanfaat untuk mengawal gula dalam darah. Serat mencegah kadar gula dalam darah melonjak terlalu tinggi selepas makan.
3. Kaya antioksidan
Kurma mengandungi antioksidan yang dapat mencegah pelbagai penyakit kronik. Fungsi antioksidan melindungi sel-sel dalam tubuh daripada radikal bebas.
Antioksidan yang terkandung dalam kurma dikenali sebagai flavonoid cukup baik untuk mengurangkan risiko diabetes, alzheimer dan kanser.
4. Meningkatkan kesihatan otak
Kajian menunjukkan kurma dapat mengurangkan inflamasi pada otak serta mengurangkan risiko penyakit seperti alzheimer serta pembentukan plak pada otak. Ia juga meningkatkan daya ingatan sekaligus membantu otak menjadi lebih cerdas.
5. Menjaga kesihatan tulang
Bukan susu sahaja baik untuk tulang tapi begitu juga kurma! Ini kerana ia mengandungi mineral iaitu fostor, kalium, kalsium dan magnesium yang dapat mencegah penyakit tulang seperti osteoporosis.
6. Mengatasi masalah seksual
Kurma juga baik untuk kesihatan seksual – kadar estradiol dan flavonoid pada kurma meningkatkan jumlah dan kualiti sperma kaum lelaki.
Jadi, apakah jenis kurma yang menjadi pilihan anda?
#ramadanmubarak
*Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.
https://m.youtube.com/c/themalayapost

Leave a Reply