Saturday, November 21, 2026
HomeBERITAKestabilan Tanpa Dominasi, peralihan paradigma dalam politik Malaysia di bawah Kerajaan Ismail...

Kestabilan Tanpa Dominasi, peralihan paradigma dalam politik Malaysia di bawah Kerajaan Ismail Sabri

Kebertahanan (resilience) dan kestabilan Kerajaan Ismail Sabri yang mencecah tempoh setahun pada 21 Ogos 2023 signifikan dalam peralihan demokratik (democratic transition) Malaysia yang mencipta rekod baru sebanyak dua kali dalam menyingkatkan riwayat kerajaan. Kerajaan bukan Perikatan/Barisan Nasional (BN) yang pertama, Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mohamad Mahathir bertahan kurang daripada 22 bulan sungguhpun berjaya menambahkan majoritinya dari 121 kerusi (54.5%) ke 139 kerusi (62.6%), yakni hanya sembilan kerusi kurang daripada dua bertiga.

Penggantinya, Kerajaan Muhyiddin Yassin yang mempunyai 111 kerusi (50.0%) pada kelahirannya berhasrat asal untuk menawarkan  ‘gabungan tetap’ (permanent coalition) barsebuahu seperti BN yang menyatupadukan tiga buah parti nasionalis Melayu-Muslim, yakni United Malays National Organisation (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) pimpinan Muslim yang menerajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah panji Perikatan Nasional (PN). Akan tetapi, ia menjadi nyata dalam bulan ke-enamnya Kerajaan Muhyiddin Yassin itu cumalah satu kerajaan campuran pasca-pilihanraya antara BN, PN, GPS dan ahli parlimen bebas dan parti kecil, dan akhirnya tumpang pada bulan ke-18nya apabila 15 orang ahli parlimen UMNO menarik diri daripada majoritinya yang telah meningkat ke 115 kerusi (51.8%) dengan lompatan empat orang ahli parlimen Parti Keadilaan Rakyat (PKR), PH.

Datuk Seri Ismail Sabri mewarisi kerajaan campuran Tan Sri Muhyiddin Yassin malah beliau mengalahkan calon Perdana Menteri PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan majoriti hanya 114 kerusi (51.4%), satu kerusi kurang daripada Kerajaan Muhyiddin.

Kestabilan atau penjajaran baru (realignment) yang mula mengancam kerajaan sejak pertengahan 2019 berjaya dihentikan pada 13 September 2021, tiga minggu selepas Datuk Seri Ismail Sabri mengambil sumpah sebagai Perdana Menteri ke-sembilan, apabila beliau menandatangani sebuah Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan PH. Melalui MOU ini, Kerajaan Ismail Sabri berjanji akan melaksanakan reformasi dalam dasar penanganan wabak Covid-19 dan reformasi-reformasi institusi berkekalan seperti pemerkasaan Parlimen dan Undang-undang Anti-Lompatan (UAL) sementara PH berjanji untuk tidak menyokong sebarang usul yang akan menjatuhkan Kerajaan Ismail Sabri termasuk dalam undi Belanjawan 2023 dan rang undang-undang (RUU) berimplikasi keyakinan dengan syarat PH dibawa berunding dalam penyediaan belanjawan dan RUU.

MOU ini pada teorinya boleh pakai sehingga tamat tempoh Parlimen ke-14 iaitu pada 15 Julai 2023 tetapi secara spesifiknya Kerajaan Ismail Sabri cuma menjanjikan untuk tidak memohon pembubaran parlimen sebelum 1 Ogos 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri juga menandatangani satu Memorandum of Agreement (MOA) dengan pendahulunya Tan Sri Muhyiddin yang antaranya menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk Bersatu, pengekalan agihan jawatan Menteri antara parti-parti kerajaan campuran, dan perundingan untuk Tarikh PRU15. Berlainan dengan MOU, MOA ini tidak dimenterai secara awam dan hanya dibocorkan pada Julai 2022 apabila Bersatu kehilangan kesabarannya dengan tidak terkotanya janji TPM.

Tersepit antara parti sendirinya, UMNO, yang sentiasa menuntut PRU15 seawal mungkin dengan kepercayaan ia akan menang besar dan Bersatu yang juga pernah ugut untuk keluar daripada kerajaan, Datuk Seri Ismail Sabri dilihat sebagai seorang pemimpin yang lemah melalui kanta cermin convensional. Akan tetapi, beliau berjaya meneruskan kerajaannya dan tidak UMNO atau Bersatu berani menjatuhkan kerajaannya, berjaya mendapat sokongan bersyarat daripada PH yang menyambut baik pendekatan rentas-parti Kerajaan Ismail.

Malah, reformasi institusi yang tercapai dalam 12 bulan yang lepas melebihi semua kerajaan sebelumnya, termasuk PH yang menonjolkan dirinya sebagai reformis. Paling nyata sekali, sungguhpun dasar, perlaksanaan dan tingkahlaku Menteri-menteri Kerajaan Ismail malah PM sendiri tetap sering dikritik oleh netizen, label “Kerajaan Gagal” untuk Kerajaan Muhyiddin pada bulan-bulan akhirnya tidak terlekat kepada Kerajaan Ismail sungguhpun barisan Menteri dan timbalan menterinya hampir sama.

Artikel ini berhujah bahawa kebertahanan dan pencapaian Kerajaan Ismail setakat ini melebihi hasil gabungan gaya individu yang berbeza, ekspektasi awam yang rendah pada awalnya serta kesurutan krisis pandemik Covid-19 (yang disusuli oleh Perang Rusia-Ukraine dan kekerapan), tetapi melambangkan peralihan paradigma dalam erti dan alat ‘kestabilan’ untuk menangani persaingan politik apabila ‘majoritarianisme’ (majoritarianism) beransur-ansur diganti oleh sistem pelbagai parti (multipartism) dalam ‘Parlimen tergantung’ (hung Parliament).

Artikel ini akan seterusnya menilai pencapaian MOU sebelum mengupas perbezaan antara ‘kestabilan atas dominasi’ (stability on dominance) pra-2018 dan ‘kestabilan atas musyawarah’ (stability on consultation). Ia juga menganalisa ‘kesudahan tidak dihasratkan’ (unintended consequence) ekoran hasrat Mahathir cuba membina dominasi model BN yang berakhir dengan Parlimen tergantung. Ia berakhir dengan menilai keterhadan dan prospek normal baru yang dimulakan oleh Kerajaan Ismail ini.

Pencapaian luar jangkaan Kerajaan Ismail di bawah MOU

MOU antara Kerajaan Ismail dan PH telah menghadapi kecaman daripada pemimpin dan akar umbi UMNO, PH dan pembangkang yang tidak terlibat seperti Parti Warisan (Warisan) pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pimpinan Mahathir. Bagi faksi UMNO yang inginkan PRU15 awal dan harapkan penggantian kerajaan sekarang oleh UMNO sebagai puak dominan, Datuk Seri Ismail Sabri adalah pemimpin yang lemah kerana kuasa beliau bergantung kepada sokongan PN di kabinet dan PH di Parlimen. Ramai pemimpin dan akar umbi pula mempersoalkan keikhlasan Kerajaan Ismail dalam melaksanakan reformasi kerana Datuk Seri Ismail Sabri bukan seorang reformis sepanjang kerjaya politiknya. Mereka melihat pendekatan rentas-parti itu kelemahan pada PH kerana perbezaan kepartian sudah menjadi kabur dan pengundi yang melihat politik sebagai perlawanan antara alim dan zalim akan keliru. Ini digemakan oleh Warisan dan Pejuang yang menuduh MOU itu PH menggadaikan peranan mereka sebagai pembangkang benar.

Dengan sikap saling tidak percaya yang menebal di masyarakat, perlaksanaan reformasi dasar dan institusi di bawah MOU menjadi pencapaian luar jangkaan yang cemerlang.

Yang pasti kandungan MOU boleh dibahagi kepada empat kategori: pertama, dasar Covid-19 yang sesetengah mungkin populis tetapi tidak kontroversial; kedua, reformasi institusi yang merangkumi Parlimen, Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan hak mengundi; ketiga, “kebebasan institusi kehakiman” yang dibaca sebagai janji tiada campurtangan kerajaan dalam kes-kes rasuah besar seperti yang melibatkan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi, yang kemungkiran boleh membatalkan MOU; dan keempat, janji umum untuk memperkukuhkan perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehingga hari ini, cuma tiga perkara konkrit yang terjanji, terlewat dan belum tercapai. Pertama, pindaan-pindaan perlu ke atas Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, yang seharusnya dilaksanakan “serta merta” iaitu Mesyuarat Parlimen ketiga tahun 2021. Kedua, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menghadkan tempoh PM kepada 10 tahun, yang seharusnya berlaku dalam Mesyuarat Parlimen pertama 2022 (Mac-April yang lepas). Ketiga, penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen yang akan memperkasakan autonomi Parlimen dengan memiliki perkhidmatan awam dan belanjawan sendiri, yang seharusnya dibentangkan dalam Mesyuarat Parlimen kedua tahun ini, yakni Julai-Ogos yang baru ditangguhkan.

Dijangka Perdana Menteri Ismail Sabri akan mengkotakan tiga janji ini sebelum memohon pembubaran parlimen untuk mencapai rekod 100%. Keyakinan penulis ini datang daripada hakikat bahawa sekalipun janji asal untuk pengukuhan MA63 tidak spesifik, Menteri undang-undang de facto Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berasal dari Sarawak berjaya membentangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, berkenaan dengan kategori negeri-negeri (Perkara 2), penambahan MA63 dalam senarai definisi (Perkara 160(2)) serta definisi anak negeri (Perkara 161A (6)-(7)).

Kestabilan atas Dominasi sehingga 2018

Di Malaysia, kestabilan politik sering disamaertikan dengan dominasi eksekutif (kerajaan), yakni, politik stabil apabila kerajaan mempunyai majoriti yang besar dan tekad politiknya boleh dilaksanakan sekalipun terdapat bantahan daripada pembangkang, masyarakat sivil malah kerajaan negeri. Dalam kata lain, kestabilan bererti kepastian (certainty) yang berhasil daripada pemusatan kuasa di eksekutif persekutuan. Apabila kuasa terpencar antara kerajaan dan pembangkang, lebih-lebih lagi antara parti-parti dalam kerajaan, atau antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, dan pembuatan keputusan memerlukan perundingan dan mesyuwarah, kestabilan dikira tergugat.

Norma ‘Kestabilan atas dominasi’ di Malaysia adalah hasil gabungan dua faktor, “majoritarianisme” yang diwarisi daripada sistem demokrasi ala Westminster di United Kingdom dan juga “dominasi satu gabungan” (one-coalition predominance) yang bermula dengan kemenangan Perikatan pada 1955 dan memuncak selepas Darurat 1969.

Daripada segi sistem dan budaya politik, norma ini di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tujuh ciri.

1. Kerajaan yang terdiri daripada satu gabungan tetap mempunyai majoriti mudah malah sehingga dua pertiga dalam parlimen.

2. Parlimen tidak memberi ruang dan akses yang berkesan untuk ahli-ahli persendirian (private members of Parliament), yakni, ahli pembangkang dan Ahli barisan belakang Kerajaan (government backbenchers) untuk menggubal undang-undang atau mempengaruhi dasar kerajaan, dan kuasa sebenar membuat keputusan dimonopoli oleh Menteri-menteri kanan dan kakitangan kerajaan kanan.

3. Pemusatan kuasa dalam sistem persekutuan di mana kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang terlalu kecil dan tiada pilihanraya untuk kerajaan Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan, mengelakkan munculnya pusat kuasa yang berpotensi mencabar Eksekutif Persekutuan.

4. Dengan peranan minima untuk mempengaruhi pembuatan undang-undang dan dasar kerajaan, persaingan programtik lemah di antara ahli-ahli politik yang belum menjadi menteri, yang sebaliknya lebih bersaing dalam gelanggang perkhidmatan kawasan, naungan (patronage) dan naratif politik identiti (kaum, agama, bahasa, wilayah).

5. Sistem pilihanraya First-Past-The-Post, terutamanya dengan pembahagian tidak sekata (malapportionment) dan gerimander, menyekat perwakilan parti pembangkang dan juga lebih menggalakkan persaingan dalam perkhidmatan kawasan, naungan dan politik identiti daripada persaingan dalam isu tidak bersifat identiti.

6. Kerana signifikannya persaingan dalam perkhidmatan kawasan dan naungan, tiada kawalan yang berkesan, dan tiada pendanaan awam dan parti politik, ahli-ahli politik banyak bergantung kepada wang untuk mengukuhkan sokongan akar umbi malah membeli undi, sama ada melalui perlantikan lumayan dalam badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kontrak kerajaan, untuk mereka yang berada dalam parti kerajaan persekutuan dan/atau negeri, ataupun melalui sokongan peribadi penaja swasta atau kekayaan sendiri untuk mereka yang berada dalam parti pembangkang.

7. Kebebasan institusi Kehakiman terdedah kepada campurtangan politik manakala institusi-institusi Pendakwaan (Jabatan Peguam Negara), penyiasatan (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) pengawalan (Pendaftar Pertubuhan) dan pentadbiran (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dikawal oleh Menteri-menteri berkenaan sehingga membolehkan penguatkuasaan yang memilih (selective enforcement), sekaligus menambahkan lagi kelebihan penyandang jawatan (incumbent advantages).

Satu akibat daripada dominasi ialah gejala lompat parti dari parti pembangkang ke parti kerajaan dan kejatuhan kerajaan negeri kerana imbuhan kuasa. Mangsanya merangkumi Kerajaan Negeri Terengganu PAS pada 1961, Kerajaan Negeri Sarawak pimpinan Stephen Kalong Ningkan pada 1966, Kerajaan Negeri Sabah Parti Besatu Sabah (PBS) pada 1994 dan Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat (PR) pada 2009. Kejatuhan Kerajaan Negeri Kelantan PAS pada 1977 lebih rumit kerana melibatkan pertembungan faksi dalam parti dan pemasyhuran Darurat oleh Kerajaan Persekutuan tetapi mempunyai impak yang sama dalam mengukuhkan kuasa Kerajaan Persekutuan. Penggantian kuasa sebegini sudah tentu menyebabkan ketidakstabilan di peringkat negeri tetapi, daripada perspektif norma di atas, juga menguatkan lagi kestabilan di peringkat persekutuan.

Akan tetapi, dominasi juga boleh menanam bernih ketidakstabilan kerana dominasi menggalakkan keangkuhan dan rebutan kuasa yang sengit. Ini terbukti dalam dua episode kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional. Pada tahun 1995, BN mencapai keputusan terbaik selepas Kemerdekaan dengan 65% undi dan 87% kerusi di Parlimen, dan ini membawa kepada pembubaran parti serpihannya Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada 1996 yang menamatkan perpecahan UMNO sejak 1986. Dalam masa dua tahun, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan kerana cuba menggantikan Perdana Menteri Mahathir. Pada tahun 2004, BN di bawah pimpinan Tun Abdullah Badawi memenangi majoriti parlimen setinggi 91% dengan 64% undi. Akan tetapi, kemuncak dominasi ini juga menggalakkan perbalahan senggit dalam UMNO, termasuk percubaan untuk mengundurkan Abdullah oleh puak pimpinan Mahathir, serta menghasilkan rasa terugut oleh kaum minoriti dengan adegan tunjuk keris di Perhimpunan Agung UMNO. Akhirnya, BN dihukum dalam pilihanraya umum 2008 dengan kehilangan majoriti dua-pertiga.

Ketidakstabilan kerana Percubaan Mencapai Dominasi, 2018-2021

Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihanraya umum ke-14 (PRU14) atas naratif ‘Sistem Dua Gabungan’ tetapi pemerintahan 22 bulannya menggambarkan percanggahan dalaman antara dua hasrat: menginstitusikan persaingan antara dua gabungan tetap ala UK atau mencapai dominasi ala BN sebagai blok dominan yang baru. Hasrat kedua menjadi tertonjol kerana dua sebab tetapi percubaan untuk mencapai dominasi ini membawa kejatuhan PH.

Sebab pertama ialah sasaran Mahathir untuk menggantikan UMNO dengan Bersatu. Beliau menggalakkan wakil rakyat UMNO meninggalkan UMNO dan parti komponen BN meninggalkan BN. Pada malam pilihanraya, UMNO memenangi 57 kerusi parlimen dan BN secara keseluruhannya memenangi 79 kerusi, berbanding dengan Bersatu dan PH-Warisan yang memenuhi 13 dan 121 kerusi. Dalam masa setahun, UMNO kehilangan 17 ahli parlimen, dan 15 orang daripada kalangan itu akhirnya menyertai Bersatu, dan BN hilang 21 kerusi dengan keluarnya parti komponen di Borneo, yakni 19 daripada BN Sarawak yang kemudian menjadi GPS, dan satu masing-masing daripada PBS dan United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) . Ini adalah sebab terutama PH tidak meluluskan UAL sunggupun pendahulunya PR adalah mangsa lompatan parti. Mahathir sememangnya berpegang kepada idea kestabilan atas dominasi kerana beliau tidak percaya kerajaan campuran pasca-pilihanraya boleh membawa kestabilan. Dalam membahaskan RUU untuk UAL, beliau menekankan perlunya lompatan parti untuk mewujudkan kerajaan stabil jika wujud Parlimen tergantung. (Mohd Iskandar Ibrahim dan Ahmad Suhael Adnan, 2022)

Sebab kedua ialah kehendak kepartian merentas PH untuk menikmati kelebihan penyandang selepas menggantikan BN. Ini didorong sebahagiannya oleh perasaan balas dendam dan sebahagiannya oleh kekhuatiran bahawa PH akan menjadi kerajaan sepenggal kalau kehilangan kelebihan penyandang untuk mengekalkan sokongan pengundi. Ramai pemimpin PH berpendapat bahawa kemenangan PH dalam PRU14 dimanfaatkan oleh dua keadaan yang tidak akan berulang dalam PRU15, pertama, persaingan tiga penjuru antara PH, UMNO dan PAS yang memecahkan undi Melayu; dan kedua, kadar mengundi yang tinggi di kalangan pengundi Cina. Maka, untuk bertahan dalam PRU15, PH tidak boleh dengan serta-merta ‘meratakan gelanggang permainan’ (level the playing field) antara parti kerajaan dan parti pembangkang, yang ironiknya tuntutan utama sebelum PRU14 dan selepas Langkah Sheraton.

Hasilnya ialah langkah pendemokrasian yang separuh hati, dalam kedua-dua arena persaingan programatik dan persaingan perkhidmatan dan naungan.

Dalam peruntukan untuk kawasan (constituency development fund), berbanding dengan BN yang sebelumnya memberikan ahli parlimennya beberapa juta dan tidak seringgitpun untuk ahli parlimen, PH bermula dengan RM 100,000 untuk ahli parlimen pembangkang dan RM 800,000 (termasuk kos penyelenggaraan pusat perkhidmatan kawasan) untuk ahli parlimen kerajaan. Peruntukan untuk ahli parlimen kerajaan ditambahkan kepada RM 1.8 juta pada tahun kedua dan RM 3.8 juta apabila Langkah Sheraton berlaku manakala peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang kekal pada RM 100,000.

Dalam reformasi Parlimen, PH mula menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, JPKP (Parliamentary Special Select Committee) yang lebih bersifat tetap dan dianggotai oleh ahli-ahli parlimen persendirian saja pada tahun 2019. Sebelumnya, dalam Parlimen ke-11 sampai ke-13 (2004-2018) di bawah BN cuma pernah melantik empat JPKP yang bersifat ad-hoc untuk mengkaji RUU atau isu yang khusus, dan juga diketuai oleh menteri. (Muhammad Sayuti Hassan and Sahanah Kathirvelu, 2021) Dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang, JPKP adalah wadah penting untuk ahli-ahli parlimen yang bukan pentadbiran mengambil bahagian dalam urusan negara sebanyak tahun dan juga melatih pengkhususan mereka. Ini amat penting kerana Dewan Rakyat kita bersidang untuk masa yang sangat singkat, yakni purata 59.6 hari dalam 2014-2018, berbanding dengan 142.6 hari di United Kingdom dan 115 hari di Kanada dalam tempoh yang sama. (Balakrishnan, 2022: 37). Di United Kingdom dan New Zealand, setiap kementerian kerajaan akan dipantau oleh sebuah JPKP (dinamakan departmental committee di United Kingdom) dan semua ahli persendirian berpeluang untuk menyertainya. (Wo, 2022)

Maka, reformasi parlimen di bawah PH adalah langkah yang sangat bersejarah. Akan tetapi, untuk memastikan backbencher kerajaan mendominasi kebanyakan JPKP dan juga menghadkan kuasa Parlimen untuk memantu Eksekutif, cuma 10 JPKP ditubuhkan dan banyak kementerian terlepas daripada pemantauan, dan cuma tujuh orang ahli parlimen dalam sebuah JPKP. Akan tetapi, seramai 82 ahli parlimen atau 36.94% daripada seluruh Dewan Rakyat tidak dilantik dalam mana-mana JPKP, Jawantankuasa Kunci Kira-kira Negara (Public Accounts Committee, PAC) atau empat Jawatankuasa Pilihan Tetap (Standing Select Committee) yang lain. Antara 82 orang Ahli Parlimen yang dinafikan peluang menyertai jawatankuasa parlimen, 57 adalah ahli Pembangkang (68.67% daripada semua ahli parlimen pembangkang) berbanding dengan 25 (17.99%) backbencher Kerajaan.

Bertentangan dengan hasratnya untuk terus berkuasa selepas PRU15, percubaan PH mencapai dominasi ala BN cuma membawa kejatuhan awalnya dalam Langkah Sheraton. Daripada segi nombor, majoriti untuk Kerajaan PH telah berkembang daripada 121 kerusi kepada 139 kerusi sebelum ketumpangannya, dengan pertambahan 14 kerusi kepada Bersatu, tiga kerusi kepada PKR, satu kepada Warisan dan satu daripada UPKO. Akan tetapi, ini cuma membawa padah daripada dua segi. Pertama, kerana sistem dominan di Malaysia tiada mekanisme untuk persaingan dalaman yang sihat dan produktif, pengembangan Bersatu telah memberanikan plot untuk menghalang pengambilalihan oleh Anwar sebagai Perdana Menteri dan memburukkan lagi perbalahan dalaman PKR dan pertembungan PKR-Bersatu. Kedua, percubaan Mahathir dan PH untuk melemahkan UMNO dan BN hanya menggalakkan UMNO untuk berpakat lebih rapat dengan PAS akhirnya secara rasmi sebagai Muafakat Nasional (MN) dan menyerang dasar multietnik PH daripada posisi tegar nasionalis Melayu-Muslim. Daripada meninstitusikan persaingan dua gabungan PH-BN yang berkongsi pasaran politik multietnik dan bersaing atas isu bukan etnik yang lebih sihat, strategi PH untuk mencapai dominasi dan memonopoli politik multietnik telah menghakis keabsahannya di bawah serangan MN.

Dengan kejatuhan Kerajaan Muhyiddin Yassin apabila 15 orang ahli parlimen menarik balik sokongan, ‘majoritarianisme’ dalam politik Malaysia secara terbukanya diganti oleh dinamika pelbagai parti dalam Parlimen tergantung.

Walaupun kestabilan atas dominasi menjadi mustahil, kestabilan tetap boleh tercapai tetapi hanya dengan pendekatan mesyuawarah untuk mencari muafakat rentas parti. Ini memerlukan pengiktirafan realiti politik yang baru: majoriti dalam parlimen tidak semestinya menyamai bilangan kerusi kerajaan, yang ditegaskan oleh pengkaji parlimen Maha Balakrishnan (2022: 11-12). Ini bermakna, kerajaan boleh mendapat majoriti yang jauh lebih besar daripada bilangan kerusi yang dipunyainya. Yang perlu hanyalah kerajaan bersikap rendah diri dan mencari sekutu di parlimen berdasarkan manfaat agenda perundangan dan pentadbirannya, dan bukan berharap untuk memonpolikan semua kredit untuk agenda yang tercapai.

Contoh yang paling baik untuk hasil kestabilan bermesyuwarah ialah kelulusan RUU UAL dengan sebulat suara oleh kesemua 209 ahli Dewan Rakyat yang hadir pada 28 Julai 2022 dan kemudiannya oleh kesemua 52 ahli Dewan Negara yang hadir pada 9 Ogos 2022. Muafakat ini dapat tercapai kerana RUU itu digubal bukan mengikut citarasa Menteri atau Kabinet, tetapi mengambil input daripada semua pihak dalam masa lapan bulan. Yang paling penting, apabila RUU asal mendapat bantahan luas daripada pelbagai segi dalam Dewan Rakyat pada 11 April, RUU itu diambilalih oleh sebuah JPKP yang dipengerusi oleh Menteri Undang-undang Wan Junaidi sebelum dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua. Mesyuawarah telah membulatkan pendapat dan menghasilkan UAL yang bukan sempurna tetapi boleh diterima oleh semua pihak. Penggubalan undang-undang dengan mesyuwarah sebenar melalui JPKP jauh lebih bermakna daripada pendebatan di seluruh Dewan yang biasanya cuma formaliti dan drama. Ini turut dipakai untuk RUU ‘Generational End Game’ (GEG) yang bercadang melarang generasi baru daripada merokok dan mungkin akan menjadi norma baru untuk RUU yang penting.

Kerana kestabilan bermesyuawarah ini berasaskan parlimen dan JPKPnya sebagai wadah mesyuwarah, maka reformasi parlimen mesti diteruskan dalam pemerkasaan ahli-ahli persendirian melalui penubuhan lebih banyak JPKP dan penubuhan Perkhidmatan Parlimen yang professional dan berautonomi. Akibat MOU, bilangan ahli parlimen dalam JPKP telah ditambahkan kepada 9 orang untuk setiap JPKP. Sehingga Mac 2021, sebelum penubuhan JPKP untuk UAL dan GEG, seramai 75 ahli parlimen telah dilantik untuk 10 JPKP dan bilangan ahli parlimen yang tiada sebarang tanggungjawab jawatankuasa parlimen telah menurun ke 66 (30.00%) berbanding dengan 82 (36.94%) pada zaman PH.

Ini satu kemajuan tetapi nyata tidak mencukupi kerana semua ahli parlimen persendirian seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya. Juga, dengan hanya 10 JPKP, masih ada sembilan portfolio kementerian, termasuk alam sekitar dan sumber manusia, yang tidak dipantau.

Prospek dan Agenda Kestabilan Bermesyuwarah

Kestabilan bermesyuawarah yang mengambil wadah parlimen dan JPKPnya wujud di bawah Kerajaan Ismail Sabri mencerminkan evolusi politik tanah air yang telah meninggalkan model majoritarianisme dan perlukan modus operandi baru untuk mencapai kestabilan dan memajukan negara. Dengan GPS dan parti-parti Sabah mengambil jalan sendirinya, besar kemungkinan Parlimen ke-15 akan tetap tergantung tanpa sebuah gabungan memenangi majoriti. Dengan tercarinya model kestabilan bermesyuwarah ini yang sendirinya mencipta sejarah dengan penggubalan UAL, rakyat Malaysia boleh yakin bahawa kestabilan politik tanahair tetap terjamin selagi Perdana Menteri mengambil sikap rendah diri untuk mencari muafakat dengan parti-parti lain, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

Namun, kerana sistem politik tanahair telah lama dicorak oleh kestabilan atas dominasi dengan kepincangan-kepincangannya, lebih banyak reformasi institusi perlu dilaksanakan sebelum PRU15. Ini termasuklah penubuhan satu Jabatan Pendakwaraya yang bebas daripada Jabatan Peguam Negara, pengawalan dana politik termasuk pembiayaan parti politik dengan dana awam, undang-undang yang menjamin peruntukan saksama untuk semua parti, serta undang-undang pecat wakil rakyat (recall) yang boleh melengkapi kekurangan UAL yang sedia ada.

Daripada mendesak PRU15 awal, Perdana Menteri Ismail Sabri seharusnya diberi sokongan rentas parti untuk memaksimakan institusi reformasi untuk meratakan gelanggang permainan dan memupuk lebih muafakat dan kerjasama rentas parti, sehingga Parlimen ke-14 genap penggalnya pada 15 Julai 2023. Tak kira perbezaan nilai dan kepentingan, semua parti politik harus melihat sesama lain sebagai saudara dalam keluarga, sekalipun berbeza dan bersaing, harus menjalinkan silaturahim dan mesyuwarah. Dan kepimpinan yang rendah diri dan inklusif tidak harus dilihat sebagai kelemahan kerana zaman orang kuat telahpun menjadi sejarah.

Artikel ini ditulis oleh Prof. Dr Sivamurugan Pandian, Penganalisis Politik Malaysia & Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili The Malaya Post.

*SubscribeChannel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments