Thursday, July 11, 2024
HomeBERITAKes Yusoff Rawther : Kekurangan bukti, Anwar Ibrahim tidak didakwa

Kes Yusoff Rawther : Kekurangan bukti, Anwar Ibrahim tidak didakwa

KUALA LUMPUR : Jabatan Peguam Negara tidak akan mendakwa Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadap bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther.

Keputusan itu dimaklum Peguam Cara Negara, Engku Nor Faizah Engku Atek menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sesawang Pejabat Peguam Negara.

Menurut Engku Nor Faizah, wujud percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan terhadap mana-mana individu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, atau mana-mana seksyen lain mengikut kanun sama.

“Kami juga mendapati tidak ada cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan.

“Dalam hal keadaan yang demikian, kami bersetuju dengan saranan PDRM supaya kes ini ditutup,” katanya.

Beliau juga berkata, berdasarkan amalan standard, penyiasatan bagi kes itu akan dibuka semula sekiranya terdapat penemuan bukti baharu.

Engku Nor Faizah berkata Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, juga tidak mencampuri segala pertimbangan mengenai siasatan itu sejak dari awal kerana hubungannya dengan Dato’ Seri Anwar sejak pertengahan tahun 1990-an.

“Oleh demikian, Timbalan Pendakwa Raya di bawah kendaliannya dipertanggungjawab untuk menilai setiap bukti dan menentukan keputusan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Peguambela Yusoff Rawther, Haniff Khatri berkata beliau akan berbincang dengan anak guamnya bersabit keputusan ini dan satu kenyataan lengkap akan dikeluarkan selewat-lewatnya Khamis ini.

“Saya akan berbincang dengan anak guam Yusoff Rawther selewat-lewatnya malam ini dan akan keluarkan satu kenyataan lengkap berkaitan perkara ini, selewat-lewatnya pada hari Khamis, 16.01.2020”, katanya kepada The Malaya Post.

Untuk rekod Muhammed Yusoff membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 7 Disember lalu, meminta polis menyiasat akuan berkanunnya yang antara lain mendakwa diperlakukan secara tidak senonoh oleh Anwar.

Dato’ Seri Anwar bagaimanapun menafikan keras dakwaan berkenaan dan turut membuat aduan polis. –THE MALAYA POST

*Subcribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanah air serta luar negara.

https://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments