Thursday, June 20, 2024
HomeBERITAKes pembunuhan kejam, remaja wanita yang juga rakan sekolah mangsa ditahan

Kes pembunuhan kejam, remaja wanita yang juga rakan sekolah mangsa ditahan

Pihak polis telah menahan seorang remaja wanita berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya, 19, di rumah keluarganya di Kampung Lubuk Batu, Telemong, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daut, tangkapan ke atas suspek yang merupakan rakan sekolah mangsa dilakukan selepas dia hadir bersama ibunya di Balai Polis Hulu Terengganu jam 8.15 pagi tadi bagi memberi keterangan terhadap siasatan.

Tangkapan dibuat berdasarkan beberapa bukti yang ditemui di lokasi kejadian dan juga  menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah burung berhampiran kediaman mangsa.

“Pada jam 7.30 pagi tadi suspek datang ke Balai Telemong ditemani ibunya untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Bagaimanapun, keterangan wanita terbabit didapati mencurigakan selain terdapat beberapa kesan kecederaan fizikal  termasuk gigitan pada lengan dan badan. Mangsa ditahan untuk siasatan lanjut jam 8.15 pagi,” katanya pada sidang media di IPD Hulu Terengganu.

Susulan penahanan itu, polis menjalankan siasatan di rumah suspek yang beralamat di Kampung Kubang Labu, dan menemui beberapa barangan yang diambil daripada rumah mangsa termasuk wang tunai dan peralatan solek.

Katanya, sebelum kejadian, suspek dikatakan ke rumah mangsa dengan menaiki motosikal. Ketika berbual di ruang tamu, berlaku salah faham yang menimbulkan kemarahan pada suspek yang membawa kepada pergaduhan.

“Ketika bergelut, suspek dikatakan mengambil pisau dapur yang ada di ruang tamu sebelum mengelar pergelangan tangan kiri mangsa beberapa kali sehingga putus,” katanya.

Suspek yang masih bersekolah di Tingkatan Enam ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Kesiksaan kerana membunuh. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang, esok untuk permohonan reman.

Dalam kejadian semalam, mangsa ditemui oleh adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, tertiarap di hadapan televisyen di ruang tamu rumah dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan ketika pulang dari sekolah kira-kira jam 2.30 petang.

Pada peringkat awal, ramai percaya mangsa dibunuh perompak, manakala adiknya pula menyangka arwah kakak terkena renjatan elektrik, tetapi sebenarnya mati dibunuh dengan pergelangan tangan kiri mangsa putus akibat kesan tetakan senjata tajam.

Mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian badan dan muka dipercayai bergelut sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam.

Siti Nur Syuhada berkata, dia mengesyaki berlaku sesuatu kepada kakaknya apabila tidak menjemputnya pulang dari sekolah selain tidak menjawab telefon apabila dihubungi.

“Rutin kakak menjemput saya pulang dari sekolah setiap hari, tetapi selepas mendapati kakak tidak datang, saya hairan dan menghubunginya beberapa kali.

“Saya mengesyaki sesuatu berlaku selepas kakak tidak menjawab panggilan telefon dan segera berlari pulang ke rumah.

“Sebaik tiba di perkarangan rumah saya lihat pintu terbuka dan apabila masuk melihat kakak tertiarap di depan televisyen di ruang tamu dengan pergelangan tangan kiri putus.

Sejumlah wang bernilai ratusan ringgit, dua beg tangan dan dua telefon bimbit mangsa lesap.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat,” katanya.

Motif, punca dan barang bukti kejadian masih dalam siasatan.

* Subscribe The Malaya Post Youtube Channel untuk perkembangan berita dan isu semasa tanahair serta luar negara.

htpps://m.youtube.com/c/themalayapost

RELATED ARTICLES

Leave a Reply

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments